Tak perlu letak jawatan di S'gor, kata Pemuda PAS

0
67



MUKTAMAR | Ketua Dewan Pemuda Pas yang baru, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pimpinan PAS di Selangor tidak perlu meletak jawatan dalam kerajaan negeri jika parti Islam itu memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad.

“Ahli-ahli jawatankuasa eksekutif (exco) dalam kerajaan negeri Selangor tidak dilantik oleh PKR atau DAP,” kata Muhammad Khalil pada sidang akhbar sulungnya di Alor Setar, hari ini.

“Mereka dilantik oleh PAS, jadi tidak ada keperluan bagi mereka untuk meletak jawatan jika kami putuskan hubungan dengan PKR,” jelas beliau pada sidang akhbar sulungnya di Alor Setar, hari ini.

Jawatan exco dalam kerajaan negeri Selangor diputuskan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, dengan perkenan Sultan Selangor.

Azmin adalah timbalan presiden PKR manakala PAS mempunyai tiga exco dalam kerajaan negeri Selangor.

Selain Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, dua lagi anggota exco daripada PAS ialah Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Iskandar berperanan sebagai pengerusi jawatankuasa tetap perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar manakala Zaidy pula memegang kerusi pengerusi jawatankuasa tetap infrastruktur dan kemudahan awam, permodenan pertanian dan industri asas tani.

Ahmad Yunus menjadi pengerusi jawatankuasa tetap hal ehwal agama Islam, jawatankuasa adat Melayu, pembangunan desa dan kampung tradisi.

Khalil berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang mahu pimpinan PAS meletak jawatan jika memutuskan hubungan dengan PKR.

“Kerana jika PAS memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan.

“Sebarang tindakan yang lain dari itu akan memualkan rakyat kerana ruang politik pembangkang akan dilihat banyak berkisar kepada serangan kepada kawan sendiri (termasuk mengisytiharkan bertanding di kerusi-kerusi PKR) sedangkan pada masa yang sama masih mahu menerima habuan dari jawatan yang disandang di Selangor,” kata Saifuddin lagi.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, exco PAS di Selangor harus kekal dalam jawatan untuk melaksanakan mandat rakyat.

“Kami bekerja untuk rakyat, dan bukan untuk parti dan mereka perlu menjalankan amanat parti itu, tidak perlu mengendahkan permintaan PKR,” ujarnya.

[Baca berita penuh]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here