Tak perlu pujuk – Wan Jamak

0
32
Advertisement



PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melupakan dua pemain Pahang, Matthew Davies dan Nor Azam Azih sebaliknya menumpukan perhatian membentuk skuad dengan pemain yang ada untuk menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang.

“Orang dah tak nak lepaskan, tak perlulah nak pujuk lagi. Tidak guna kita membuang masa, mengharap dan merayu kerana bagi saya kalau setakat dua pemain itu tidak ada, tak mungkin menjejaskan keseluruhan pasukan.

“Lebih baik Datuk Ong (Kim Swee) fokus membentuk pasukan dengan pemain yang ada daripada memikirkan dua pemain itu. Biarlah mereka bermain dalam Piala Malaysia sahaja jika itu yang lebih mustahak bagi pasukan mereka.

“Lagipun jika FAM merayu sebegini, ia sekadar membuatkan pihak berkenaan lebih besar kepala. Kita buktikan tanpa dua pemain itu pun skuad negara boleh berjaya,” kata bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan dengan nada sinis.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, yang masih berharap Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) melepaskan pemain itu apabila masih tidak kelihatan selepas tiga hari pemain lain melaporkan diri.

Ini adalah kali kedua Pahang mengambil pendirian sedemikian selepas turut enggan melepaskan pemain yang sama untuk tugasan negara pada kelayakan Piala AFC Bawah 23 (B-23) di Bangkok tahun lalu.

“Memang Sukan Asia tidak termasuk dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan pasukan tidak diwajibkan melepaskan pemainnya.

“FAM pun tidak boleh mengambil tindakan ke atas pasukan yang membelakangkan pasukan kebangsaan untuk sukan ini.

“Tetapi jika kita semua mempunyai jiwa Malaysia, tidak akan ada pihak yang mencetuskan masalah sebegini. Soalnya, kalau pasukan lain boleh berkorban mengapa pula ada pasukan yang tidak sanggup melakukannya?” soal Wan Jamak.

Pada masa sama beliau mahu isu ini dijadikan pengajaran oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam menyusun jadual pada masa akan datang kerana ketika ini, jadual Piala Malaysia bertindih dengan temasya Sukan Asia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here