Tak sanggup hantar anak pusat asuhan

0
429
Advertisement



PENGALAMAN pernah bekerja di taska sebelum menjadi pelakon membuatkan Ezzaty Abdullah, 28, enggan menyerahkan anaknya, Harum Dahlia, lapan bulan dijaga di pusat asuhan.

Walau sesibuk mana pun terpaksa bekerja, dia tetap akan bergilir menjaga anaknya bersama suami.

“Bukan kerana pernah lalui pengalaman pahit melihat anak-anak di pusat jagaan didera seperti tular sejak akhir ini tetapi ia berkaitan pengurusan anak-anak asuhan yang ramai pada waktu sama.

“Contohnya, anak-anak akan diberi makanan sama dan kalau disuap, selalunya sudu sama akan digunakan untuk memberi mereka makan.

“Itu belum dikira cara botol susu atau bekas makan minum kadang kala tidak dicuci dengan bersih,” katanya.

Jelasnya, situasi itu boleh menyebabkan mereka mudah terkena jangkitan penyakit seperti batuk, demam atau selsema.

Katanya, jika kanak-kanak sihat disuap makanan dengan sudu sama digunakan kanak-kanak demam, semua akan berjangkit.

Untuk itu, Ezzaty lebih selesa bergilir menjaga anaknya bersama suami, Azwan Kombos di rumah sendiri.

Jika perlu keluar bekerja, Azwan akan duduk di rumah jaga anak dan begitu juga sebaliknya.

“Tapi kadang kala saya bersifat ‘over protective’ sehinggakan apabila Azwan basuh botol susu Harum, saya akan basuh sekali lagi, sterilkan dan basuh lagi sebelum digunakan semula,” katanya.

Pelakon KL Gangster Underworld ini akui jika dia dan suami perlu ke majlis hiburan, mereka akan tinggalkan anak untuk dijaga adik beradik mereka yang kebetulan tinggal di kejiranan sama.

Ezzaty dan suami yang berkahwin pada Julai 2016, dikurniakan anak pada 6 Disember tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here