Tak tergamak buat pembedahan

0
30



Wanita mana yang tidak mahu tampil cantik?

Pada zaman moden ini, bagi segelintir wanita, penampilan cantik dan menarik, memang menjadi keutamaan atau terletak di tang­ga teratas. Bagaimanapun, kecantikan itu sesuatu yang subjektif nilainya.

Boleh dikatakan pelbagai cara sanggup dilakukan demi memiliki kecantikan yang ideal.

Bagi penyanyi dangdut, Ani Mayuni , dia tidak sanggup menjalani pembedahan plastik ataupun melakukan suntikan pada wajah bagi mengekalkan kecantikan.

Ani atau nama penuhnya, Aishah An Nur Osman berkata, dia tidak berani melakukan perkara sedemikian kerana ia perbuatan yang dilarang dalam Islam, sebaliknya hanya mengamalkan jamu untuk mengekalkan kecantikannya.

“Kecantikan memang tidak dapat dipisahkan daripada kamus hidup setiap orang bergelar wanita, apatah lagi cantik itu fitrah manusia.

“Walaupun kerjaya seni memerlukan saya tampil cantik, tetapi saya tidak tergamak melakukan pembedahan atau suntikan botoks.

“Mungkin ilmu saya dalam bidang agama tidak tinggi, tapi saya sedar menggubah wajah adalah perkara yang dilarang agama Islam.

“Apa yang dimiliki hari ini sudah lebih daripada cukup. Saya selesa dengan kecantikan ini,”katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan hidangan sempena Ramadan di Hotel Royal Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Ani, apabila mempunyai masa terluang dia gemar membuat jamu sendiri bagi memastikan diri tampil bergaya dan bertenaga.

“Saya lebih suka cara tradisional dengan mengamalkan jamu untuk kekal cantik dan sihat.

“Dengan amalan memakan jamu, anggota badan menjadi lebih segar dan ringan. Malah, saya juga lebih aktif dan tidak cepat penat walaupun sibuk dengan kerja,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Ani berkata, dia sibuk menjayakan persembahan di hotel berkenaan bersama rakan seperjuangan, Kelly Azman.

“Sebenarnya, sudah empat tahun saya diberikan kepercayaan menjayakan persembahan di sini.

“Macam biasa, saya dan Kelly akan mempersembahkan lagu pantai timur dan ketuhanan. Tetapi, ada juga pengunjung yang meminta saya menyanyi lagu lama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here