Taktikal pantas, kemahiran tinggi jadi kriteria

0
258
Advertisement



PANTAS dan mempunyai kemahiran tinggi dalam melakukan gerakan serangan balas menjadi kriteria utama yang ditekankan pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah untuk memutuskan barisan 18 pemain terakhir ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.

Ketika ini, Malaysian Tigress mempunyai seramai 20 pemain yang dibawa ke siri persahabatan di Brisbane, Australia dengan dua pemain bakal digugurkan.

Menurut pengendali berusia 49 tahun itu, aspek itu ditekankan kali ini kerana beliau mahu mempersiapkan pasukan untuk menghadapi dua lawan sukar dalam saingan Kumpulan A, China dan Jepun.

Malah, taktikal itu makin menampakkan kesan yang positif terhadap corak serangan apabila berjaya mengikat Akademi Sukan Queensland (2-2 dan 1-1) dalam dua daripada lima siri persahabatan di Brisbane.

“Buat masa ini tiada taktikal atau formasi baharu yang diterapkan, sebaliknya saya hanya menekankan pemain untuk cuba hanya membuat satu atau dua sentuhan selain tidak melengahkan masa untuk menghantar bola ke depan.

“Taktikal ini makin membuahkan hasil apabila kita meraih 11 pukulan sudut penalti berbanding hanya tiga bagi aksi pertama dengan pemain mula memahami dan menguasai corak serangan balas.

“Malah, saya sudah memberi amaran kepada pemain untuk mengeluarkan mereka sekiranya gagal mengurangkan sentuhan bola (yang tidak perlu dilakukan) di bahagian pertahanan atau tengah,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Eksperimen Dhaarma ini diyakini sebagai jalan terbaik apatah lagi dengan kepantasan dimiliki beberapa pemain pasukan ranking ke-22 dunia itu.

Antara pemain berkenaan adalah Hanis Nadiah Onn, Fatin Shafika Mahd Sukri, Nur Zafirah Aziz, Kirandeep Singh, Nurmaizatul Hanim Syafi Sheikh Fuad dan Wan Norfaiezah Saiuti.

Selain Jepun dan China, Malaysia turut berada satu kumpulan bersama Hong Kong dan Taiwan di Jakarta dengan misi layak ke separuh akhir.

Malaysia dijadualkan berdepan Akademi Sukan Queensland dalam aksi persahabatan ketiga, jam 3.30 petang esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here