Tamak, nafsu kini ganti rasa cinta Melayu

0
42



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi melahirkan kebimbangan terhadap bangsa Melayu yang kini dilihatnya tidak lagi mempunyai semangat kebangsaan.

Menceritakan bahawa beliau membesar di zaman melawan Malayan Union dan membebaskan negara daripada jajahan British, Dr Mahathir berkata, seperti orang lain, beliau ketika itu bekorban menggunakan wang sendiri untuk berjuang tanpa mengharap apa-apa balasan demi maruah bangsa.

Namun, katanya, apa yang berlaku hari ini, orang Melayu banyak berubah dan ramai di kalangan mereka tidak lagi sayangkan bangsa dan negara.

“Sesungguhnya saya amat sedih akan kehilangan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu, tua dan muda.

“Jika tidak diupah dengan duit, pangkat atau jawatan, kontrak atau sebagainya, biarlah negara hancur, tidak ada apa-apa yang sanggup dibuat untuk menyelamatnya. Jauh sekali dari menghadapi sedikit risiko.

“Apabila budaya ini mengganti semangat kebangsaan, alamatnya ialah bangsa ini akan gagal dan hilang dari muka bumi ini,” kata Mahathir di blognya hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, pada hari ini seseorang itu akan berasa malu sekiranya bersemangat Melayu. Malah, katanya, semangat kebangsaan juga kini dicemuh sebagai perkauman.

“Semangat kebangsaan dicemuh sebagai perkauman, rasis. Kita malu jika bersemangat Melayu.

“Sekarang ini ramai yang tidak boleh menerima bahawa seseorang itu boleh sayang kepada bangsa dan negara sehingga sanggup korban keselesaan hidup diri sendiri,” tulisnya lagi.

Sehubungan itu, negarawan berkenaan berpendapat bangsa Melayu boleh pupus dari muka bumi sekiranya budaya ‘upah’ dan tamak menggantikan semangat kebangsaan.

Apa yang lebih membimbangkan, katanya, jika bangsa Melayu itu hilang dan hanya tercatit di dalam buku sejarah.

“Dalam sejarah manusia, banyak sudah bangsa-bangsa yang sudah tidak ada lagi. Ada yang hanya tercatit dalam buku sejarah. Ada yang hilang sama sekali.

“Apakah buku sejarah di zaman akan datang akan tertulis didalamnya: Maka pada zaman dahulu terdapat satu bangsa yang dikenali sebagai Melayu, yang sudah pun hilang, kerana semangat bangsa luput diganti dengan ketamakan nafsu,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here