Tanjung FC rampas trofi

0
69



Kuala Terengganu: Tanjung FC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Pecah Rotan FC 1-1 sebelum menang menerusi sepakan penalti 5-4 sekali gus muncul juara kejohanan bola sepak Piala ADUN Batu Rakit di Padang Kampung Darat Batu Rakit, baru-baru ini.

Seawal permainan, Tanjung FC yang juga bekas juara dua tahun lalu dikejutkan dengan gol awal Pecah Rotan FC.

Bagaimanapun, Syed Ahmad Aizuddin Tuan Nek yang juga ketua pasukan Tanjung FC menjadi penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua sekali gus mengheret perlawanan kepada penentuan sepakan penalti.

Penjaga gol Tanjung FC, Muhammad Faris Zakwan Mohd Zamani muncul wira apabila berjaya menyelamatkan satu sepakan penalti lawan sekali gus memenangi perlawanan itu dengan keputusan 5-4.

Kejayaan Tanjung FC itu membolehkan pasukan berkenaan menjulang piala pusingan, pingat dan wang tunai RM2,000 manakala Pecah Rotan FC membawa pulang RM1,000 dan pingat.

Tempat ketiga dikongsi bersama juara musim lalu Padang Kemunting (PAKEM) dan Bukit Cempaka FC (BUCEM) yang meraih wang tunai RM800 serta pingat.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan anjuran Penyelaras Pemuda UMNO DUN Batu Rakit itu disampaikan ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman.

Sementara itu, pengurus Tanjung FC Khairul Anuar Samsudin berkata, kejayaan pasukannya itu adalah hasil kerja keras dan semangat juang tinggi yang dipamerkan biarpun ketinggalan pada babak pertama.

Menurutnya, kejayaan itu juga sekali gus mengubat kekecewaan gagal ke perlawanan akhir dua tahun berturut-turut selepas muncul juara pada 2014.

“Dalam percubaan kali ketiga ini barulah kami berjaya merampas semula piala yang pernah dimenangi pada 2014,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here