Tanzania pecat 9,900 penjawat awam guna ijazah palsu

0
57


DAR ES SALAAM: Presiden Tanzania John Magufuli hari ini mengarahkan pemecatan serta-merta lebih 9,900 kakitangan awam selepas bahagian pengesahan kelayakan akademik kebangsaan membongkar skandal pekerja yang memiliki sijil sekolah dan kolej palsu.

Magufuli yang dilantik pada Oktober 2015, memecat beberapa pegawai kanan termasuk ketua badan antirasuah kerajaan, ketua percukaian, seorang pegawai kanan perkhidmatan kereta api dan ketua pihak berkuasa pelabuhan sebagai sebahagian daripada usaha membanteras rasuah yang meluas.

Gejala rasuah dan ketidakcekapan kerajaan menjadi halangan utama untuk melabur di Tanzania sejak sekian lama.

Tindakan tegas terhadap pemegang ijazah palsu dilancarkan selepas operasi pembersihan pada Mac lalu yang mengesan lebih 19,700 ‘pekerja hantu’ dalam senarai penggajian sektor awam di negara timur Afrika itu.

“Kami bekerja keras untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu, malangnya ada kakitangan kerajaan yang memegang ijazah palsu,” kata Magufuli selepas menerima laporan mengenai penipuan akademik dalam perkhidmatan awam.

Kerajaan juga kerugian 238 bilion syiling (RM464 juta) setiap tahun kepada ‘pekerja hantu’ yang kini sudah dikeluarkan daripada senarai penggajian awam, katanya.

Tanzania membelanjakan lebih daripada AS$260 juta (RM1.1 bilion) setiap bulan untuk membayar gaji kakitangan awam. – REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here