Tapir sesat

0
54



Baling: Seekor tapir betina dipercayai tersesat ditemui penduduk terjatuh dalam kawasan paya Kampung Charok Kelian, di sini, semalam.

Penduduk, Zakaria Senawi, 65, berkata, haiwan itu ditemui 10 meter dengan rumah penduduk dipercayai tersesat dan mengalami kecederaan di mata jam 8.30 pagi.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran haiwan itu, dia menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menyelamatkannya.

“Haiwan itu juga keletihan kerana tidak makan dan tidak mampu naik ke tebing selepas terjatuh ke dalam paya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Baling Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.10 pagi dan empat anggota APM bergegas ke lokasi penemuan haiwan itu.

Menurutnya, ini kejadian kali pertama haiwan itu ditemui tersesat dan masuk ke kawasan perkampungan penduduk.

“Haiwan itu ditemui di kawasan paya berhampiran kebun kelapa sawit kira-kira 10 meter dengan rumah penduduk.

“Tapir itu dipercayai tersesat dan lapar kerana keletihan dan terjatuh dalam paya di mana kita mengambil masa 30 minit untuk membawanya keluar,” katanya.

Mohd Faizol berkata, selepas berjaya diselamatkan, tapir seberat 100 kilogram itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang turut membantu menyelamatkan haiwan terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here