Tekad sapu bersih emas

0
443
Advertisement



SKUAD gimrama negara berhasrat menyapu bersih keseluruhan enam pingat emas yang ditawarkan pada Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 apabila acara sukan itu mula dipertandingkan di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok.

Pegawai delegasi teknikal, Patrina Low berkata tiga gimnas daripada skuad gimrama negara yang menyertai temasya kali ini adalah atlet sama yang menyerlah pada temasya di Singapura tahun lepas.

“Pada ASG tahun lalu, Malaysia memenangi keseluruhan enam pingat emas, jadi kali ini di tempat sendiri kita haraplah mereka berjaya mengekalkan rekod itu,” katanya kepada NSTP di sini hari ini.

Beliau berkata Thailand bagaimanapun dijangka memberi tentangan sengit buat gimnas negara nanti.

Pada temasya lalu, Izzah Amzan, Tammy Ng dan Rayna Hoh mengambil bahagian dan mereka akan sekali lagi beraksi pada temasya kali ini dengan penambahan seorang gimnas berumur 15 tahun, Iris Hoo.

Izzah, 18, yang juga dipilih sebagai ketua bacaan ikrar pada majlis perasmian semalam menjadi taruhan negara selepas menghadiahkan empat emas pada temasya lalu.

Untuk rekod, Izzah juga memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Pada temasya kali ini, enam pingat emas ditawarkan dalam acara berpasukan, individu keseluruhan, gelung, bola, belantan dan riben dipertandingkan di Gimnasium 1 MSN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here