Tekad ulangi kejayaan 2013, 2014

0
158
Advertisement



SKUAD Pahang mahu pencapaian selaku juara Piala Malaysia musim 2013 dan 2014 diulangi dalam saingan piala berprestij musim ini.

Justeru, skuad kendalian Dollah Salleh mengidamkan gelaran juara Piala Malaysia kelima selepas menjulang piala itu buat kali pertama dan kedua pada 1983 dan 1992.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kejayaan menjulang Piala FA musim ini adalah detik permulaan terbaik untuk merampas kembali Piala Malaysia.

“Sudah semestinya kita perlu mempamer prestasi terbaik memandangkan cabaran besar bukan saja daripada Selangor atau PKNP FC, malah Sabah.

“Kejayaan muncul juara Piala FA menjadi pendorong utama untuk melakar kejayaan lebih manis seperti yang dilakukan pada 2013 dan 2014.

“Saya harap semua pemain dapat meningkatkan lagi kualiti dan aksi terbaik untuk menewaskan lawan,” katanya.

Ditanya peluang Tok Gajah mengatasi Sabah pada aksi pembuka tirai Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur Sabtu ini, beliau berkata, tiga mata menjadi keutamaan skuad itu.

Namun, katanya, keupayaan lawan itu tidak dipandang rendah biarpun beraksi dalam Liga Perdana musim ini kerana semua pasukan mempunyai peluang.

“Apa yang perlu dilakukan pemain adalah mengikut arahan jurulatih dan tidak sesekali memandang mudah lawan bagi mengelak diaibkan.

“Justeru, tiga mata perlu diraih sebagai motivasi bagi menyekat lawan daripada membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here