Teks ucapan penuh Bajet 2018

0
179
Advertisement

“Memakmur ekonomi yang inklusif, mengimbang keunggulan duniawi dan ukhrawi, demi mensejahtera kehidupan rakyat, menuju aspirasi TN50”

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2018 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

Bismillah-Hir-Rahma-Nir-Rahim

1.          Sesungguhnya Kami Bernaik Saksi Bahawa, Tiada Tuhan yang Selayaknya Disembah Melainkan Allah yakni Dia, serta para MalaikatNya, yang berSelawat ke atas Nabi Junjungan. Seraya,… diseru ke atas orang-orang yang beriman mengucapkan; Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad, Wa a’la A-li Saidina Muhammad.

2.          Begitu juga kepada Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta seluruh Rakyat Malaysia Sekalian, dari penjuru Utara Perlis, hingga ke Penghujung Benua Asia di Tanjung Piai, membawa nun jauh di Sabah, Negeri di Bawah Bayu dan di Sarawak, Bumi Kenyalang,  diucapkan Salam Sejahtera,… Salam Negaraku,… dan Salam 1Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

3.          Pastinya pada tahun lalu, kita maklum tentang ramai yang telah meneka-neka bahawa,… Bajet 2017 itu adalah Bajet Pilihanraya.

4.          Memanglah,… tidak dinafikan,… kerana sekian banyak inisiatif dan sekian banyak peruntukan, telah diumumkan demi keperluan rakyat serta kepentingan negara. Namun nampaknya,… ramalan itu setakat tahun lepas,… menjadi hampa dan tidak benar belaka.

5.          Lalunya,… Tuan Yang Dipertua, kalau minggu lalu, kawan-kawan daripada masyarakat India baru saja menyambut perayaan cahaya Deepavali,… kita ucapkan sekali lagi bersama-sama Deepavali Val-thu-kal,…

Maka,… pada Jumaat penghulu segala hari ini, seperti para cerdik pandai juga menyatakan boleh disambut sebagai Hari Lebaran yang riang dan ceria.

6.          Jadinya,… saya mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama untuk merayakan imbuhan-imbuhan, buah-buah tangan dan pemberian-pemberian yang akan dibentang-bentang dan dihidang-hidang sepanjang persembahan Bajet ini. Dengan satu syarat,…

Syaratnya apa?… aaa… syaratnya, saya nak khabor pada semua,… bak kata orang tempat saya di Pekan,… maaf cakaplah, kalau boleh, moleklah mendengor,… bukannya berdengkor,… dari mula, sampeilah ke penghujung ucapan.

7.          Maksud saya,… berdiri saya pada petang Jumaat yang mulia bertarikh 27 Oktober ini, bersamaan dengan 7 haribulan Safar 1439 Hijriah, adalah, tidak lain dan tidak bukan, untuk membawa khabar-khabar yang lebih riang dan gembira, yang bakal menguntum serta menyimpul senyum-senyuman di wajah semua.

8.          Yang ter-paling mustahak adalah untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tercinta, tidak kira apa jua kaum,… apa jua bangsa,… dan apa jua latar keturunan.

9.          Tuan Yang Dipertua, ternyata, yang ditunggu-tunggu, buahnya pun baru saja masak dan baru saja meranum,… hatta, kalau tidak dipetik pun pada petang yang berbahagia ini, ia akan tetap gugur, dan akan tetap luruh, satu persatu, sebagai sebahagian rezeki yang dilimpahi rendang dan merimbunnya Pepohon Malaysia.

10.      Jadinya, marilah kita sama-sama menghayati dan meneliti dahulu,… apa yang akan saya, bagi pihak Kerajaan ingin sajikan, jika tidak,… bagi mereka yang terburu-buru, sebagai memetik kata ulamak dan cerdik pandai,… sesungguhnya tergolonglah dalam kumpulan orang-orang yang merugi.

Tuan Yang Dipertua,

11.      Sayang seribu kali sayang,… dalam pada kita ingin membina peradaban santun susila di antara satu sama lain, sampai hati,… dan,… tergamak sungguh ‘Orang Itu’ memaki,… mencerca,… etnik bangsa dari keturunan Bugis.

Tapi,… tak mengapalah,… apa yang penting,… kita wajar terus Berjiwa Besar, bak kata seloka dalam loghat Utara:

Orang Kedah semua baik-baik dan ramah-ramah,
Cuma, sorang dua sajaa, yang mudah lupa diri,
Kerajaan BN ini ikhlas, kerja untuk negara dan ummah,
Ni dia Bajet yang kita semua dok nanti-nanti.

PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI

Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia sekalian,

12.      Pertama-tamanya, kita wajib merafakkan rasa syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah S.W.T kerana ekonomi negara terus berkembang dengan PO-SI-TIF.

13.      Pada separuh tahun pertama 2017, ia mencatatkan satu pertumbuhan yang sungguh memberangsangkan pada kadar 5.7 peratus.

14.      Makanya, janganlah mudah termakan dengan tipu daya serta dakyah yang tidak henti-henti terutamanya di media sosial,… oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa kononnya,…
Bank Dunia telah mengeluarkan laporan-laporan negatif tertentu terhadap ekonomi negara kita.

15.      Hakikatnya, perkara itu adalah tidak benar sama sekali,… kerana realitinya baru saja tiga minggu lepas, pihak Bank Dunia telah membuat semakan yang lazim, merangkumi Asia Timur dan Pasifik.

16.      Hasil daripada semakan itu,… sekali lagi,… yang ter-paling mustahak,… Badan Kewangan Antarabangsa Tertinggi dunia itu telah menzahirkan keyakinan terhadap prestasi ekonomi kita, dengan memberi puji-pujian kepada dasar-dasar negara, seraya menaikkan unjuran KDNK Malaysia,… daripada 4.9 kepada 5.2 peratus bagi tahun 2017. Ada bersama kita hadirin sekalian, pada petang ini, beberapa wakil daripada Bank Negara Malaysia dan World Bank.

17.      Selanjutnya, Kerajaan pula mengunjurkan ekonomi Malaysia bakal mencapai kadar pertumbuhan tahunan antara 5.2 hingga 5.7 peratus pada 2017, yakni lebih tinggi daripada unjuran pada bulan Mac lalu iaitu 4.3 hingga 4.8 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

18.      Sesungguhnya lagi, selama 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, pada Bajet yang ke-59 dan kali ke-9 saya bentangkan bagi pihak Kerajaan ini, dengan penuh rasa syukur serta tawadhuk, ingin dinyatakan bahawa, sepanjang tempoh lapan tahun yang lalu, di sebalik pelbagai kerencaman dan cabaran ekonomi,… Malaysia telah mampu membuktikan, dua aspek yang amat penting dan dapatlah disimpulkan sebagai:

Pertamanya: Kita telah mencapai prestasi hubungan dagang dan diplomasi pada tahap pa-ling baik dan pa-ling matang dalam lingkungan masa serentak dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, India, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Sesungguhnya, tidak pernah seumpamanya seperti ini dalam sejarah, sehinggakan the actual private investment untuk 2016 sahaja, melebihi 211 bilion ringgit. Dibandingkan pada tahun 2009, jumlah pelaburan swasta sebenar hanyalah 81 bilion ringgit.

Oleh sebab itu,… seandainya saya dan rakan-rakan anggota kabinet mengadakan lawatan rasmi ke luar negara,… janganlah sewenang-wenangnya sesiapa pun menuduh bahawa, kita hendak menggadaikan kedaulatan Tanah Air.

Hah…!!! Baru-baru ini, saya mendapat khabar berita,… katanya,… YAB Menteri Besar Selangor, merangkap Ahli Parlimen Gombak sendiri, telah pun berkunjung ke Tanah Besar China. Kita nak tanya,… YB Gombak,… Nak jual Selangor ke?

Demikianlah kata orang,… Berhati-hatilah kalau mahu meludah ke langit, takut-takut nanti,… ia jatuh setepek,… terpalit ke muka sendiri.

Tuan Yang Dipertua,

Itu belum lagi dikira lawatan-lawatan ke luar negara yang dibuat oleh YB Bagan, juga YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Itupun kira macam mana,… kita kira macam mana, nak jual negeri juga ke..?

Keduanya:  Tuan Yang Dipertua,

Sejak tahun 2009, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran yang kebanyakannya di luar kawalan kita, seperti harga minyak dunia yang jatuh merudum, faktor geopolitik antarabangsa yang bergolak dan masih tidak menentu, akan tetapi,… Alhamdulillah, kita terus kekal mampu menguruskan kewangan negara, dengan mengamalkan tadbir urus yang cekap serta disiplin fiskal yang begitu berhemah.

Menoleh ke tahun 2009, defisit fiskal kita berada pada kadar 6.7 peratus daripada KDNK. Dengan perancangan dan perencanaan serta inisiatif yang teratur lagi sistematik, syukur kepada Allah S.W.T., defisit fiskal negara dianggar terus berkurang kepada 3 peratus pada 2017, dan kita yakin pada tahun 2018 akan menurun lagi kepada 2.8 peratus.

Impaknya sungguh jelas,… baru-baru ini, tiga agensi penarafan kredit antarabangsa yang berwibawa, telah mengekalkan kredit Malaysia pada penarafan ‘A-’ dengan prospek yang stabil.

Bayangkan,… bayangkanlah,… seandainya Kerajaan ini, tidak mengambil langkah-langkah bijak lagi proaktif untuk menguruskan perbelanjaan negara, terutamanya ketika harga minyak dunia jatuh mendadak, paras defisit fiskal dan hutang akan meningkat sekaligus menjejaskan penarafan kredit negara,
kemungkinan besar kita boleh terjerumus ke kancah kegawatan ekonomi.

Sekiranya itu berlaku, ia boleh mengakibatkan kenaikan kos pinjaman peribadi dan komersial, keyakinan pelabur pun terjejas, serta mengundang ketidakstabilan pasaran kewangan.

Tuan Yang Dipertua,

19.      Makanya, bagai disyair orang dulu-dulu, kalau buruk yang kita minta, maka buruklah jadinya; kerana itu,… kalau elok kita usaha dan minta, maka moleklah hasilnya.

20.      Justeru,… walau sekali apa pun cabaran, halangan dan pancaroba yang datang merintang, kita perlu terus mengekalkan momentum dan dinamika kepesatan ekonomi negara.

21.      Kerana itulah, pegangan pentadbiran Kerajaan ini sejak mula-mula saya mengambil alih tampuk kepimpinan, telah diperkenalkan Program Transformasi Negara yang inklusif, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN, yang amat menitikberatkan tentang aspek kualiti, sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan, khususnya, dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi.

22.      Di bawah DTN ini juga, terkandung antara lain, Model Ekonomi Baru, yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11.

Tuan yang Dipertua,

23.      Maka, tidak salah lagi sejak 2009, ketika mana melihatkan keadaan sosioekonomi negara ketika itu, saya selaku Perdana Menteri telah membuat keputusan yang amat sukar, dengan meletakkan inisiatif ekonomi sebagai Fokus Utama kepada Kerajaan yang saya pimpini, sehinggakan agenda dan program Transformasi yang lain disusunatur menurut keutamaan dan dikemudiankan dahulu, termasuklah Program Transformasi Politik.

24.      Justeru, mana mungkin orang mempertikai bahawa kita tidak mempunyai polisi ekonomi yang kukuh? Ternyata, kesemua usaha yang telah diambil oleh Kerajaan sepanjang lapan tahun yang lalu, telah membuahkan hasil-hasil, antaranya:

Pertama: Sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2020 setakat ini, sudahpun mencapai angka 69 peratus dengan 2.26  juta pekerjaan diwujudkan;

Kedua: Pada bulan Ogos ini sahaja, eksport negara buat pertama kalinya telah mencapai antara paras tertinggi, dengan nilaian melebihi 80 bilion ringgit, dan merekodkan double digit growth; dan
Ketiga: Rizab antarabangsa terkini pula, telah mencatat 101.4 bilion dolar Amerika atau 428.7 bilion ringgit yang mampu menampung 7.5 bulan import tertangguh. Sedangkan pada tahun 1997, ketika berlakunya kegawatan ekonomi Asia, rizab negara hanyalah 21.7 bilion dolar Amerika atau bersamaan 59.1 bilion ringgit,…

Nah,… kalau rizab serendah 21.7 bilion dolar Amerika pun tidak bankrap, Itu pun, kita belum tolak 31 bilion ringgit yang entah ke mana…. apatah lagi rizab sekarang setinggi 101.4 bilion dolar Amerika.
Tuan Yang Dipertua,

25.      Bukan setakat itu sahaja, melalui Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Keperluan Asas 2016, menyaksikan, kita telah meraih sekian banyak pencapaian, antaranya:

Pertama: Pendapatan per kapita rakyat daripada 27,819 ringgit pada tahun 2010, kini telah meningkat kepada 40,713 ringgit, dan dijangka mencapai 42,777 ringgit menjelang 2018;

Kedua: Pendapatan median bulanan pula, telah meningkat daripada 4,585 ringgit, pada tahun 2014 kepada 5,288 ringgit pada tahun 2016;

Ketiga: Bagi pendapatan isi rumah B40 pula, daripada tempoh 2014 hingga 2016, telah meningkat daripada 2,629 ringgit kepada 3,000 ringgit sebulan; dan

Keempat: Agihan pendapatan dalam kalangan isi rumah Malaysia terus bertambah baik dengan penurunan Pekali Gini  daripada 0.441 pada tahun 2009, kepada 0.399 pada tahun 2016, the lowest in the history of Malaysia. Ini bermakna jurang pendapatan semakin dirapatkan, dan kita menuju masyarakat yang pengagihannya lebih saksama.

PERUNTUKAN BAJET 2018

Tuan Yang Dipertua,

26.      Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, maka Bajet 2018 akan memperuntukkan sejumlah 280.25 bilion ringgit, menyaksikan pertambahan peruntukan, berbanding 260.8 bilion ringgit peruntukan Bajet 2017 yang dibentangkan.

27.      Daripada jumlah tersebut, 234.25 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus, dan 46 bilion ringgit lagi bagi perbelanjaan pembangunan. Ini tidak termasuk simpanan luar jangka 2 bilion ringgit.

28.      Di bawah peruntukan mengurus, 79.15 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 33.62 bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan.

29.      Manakala, sebanyak 119.82 bilion ringgit lagi, adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Perbelanjaan lain pula, diperuntukkan 1.08 bilion ringgit, dan 577 juta ringgit untuk pembelian aset.

30.      Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 26.34 bilion ringgit. Sektor sosial menerima sejumlah 11.72 bilion ringgit. Manakala, sektor keselamatan diperuntukkan 5.22 bilion ringgit, dan sektor pentadbiran am sebanyak 2.72 bilion ringgit.

31.      Bagi tahun 2018, dengan izin Allah, kita menjangkakan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan mencecah 239.86 bilion ringgit.

32.      Apa yang penting, Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dan mempastikan kedudukan kewangan Kerajaan terus kukuh serta paras hutang kekal rendah bagi tempoh jangka sederhana dan panjang.

Tuan Yang Dipertua,

33.      Pastinya semua dapat mengagak, bajet yang digubal ini adalah yang paling penting kerana, ia merupakan satu rumusan kepada prakarsa-prakarsa yang telah memacu ekonomi negara semenjak saya menjadi Perdana Menteri sebermulanya tahun 2009.

34.      Ia sebetulnya juga, menjadi antara report card utama kepada rakyat dan Kerajaan pimpinan saya, sepanjang dua penggal tempoh pentadbiran Kerajaan ini.

35.      Bahkan, ia disusun sebagai satu dokumen pelonjak kepada pembikinan sebuah negara Bangsa Malaysia untuk tempoh 30 tahun mendatang yang akan dicorakkan semula di atas kanvas yang lebih baharu berasaskan KERANGKA MAQASID SYARIAH.

36.      Dalam memperkatakan hal ini, sesungguhnya secara sedar atau tidak, sejak meraih kemerdekaan, kita begitu bertuah kerana bapa-bapa pendahulu telah menyulam manik-manik azimat Maqasid Syariah, yang mementingkan pemeliharaan 5 aspek, yakni Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta di dalam setiap dasar dan setiap perancangan Kerajaan.

37.      Kerangka Maqasid Syariah ini, dengan jelas difirmankan oleh Allah S.W.T dalam surah Al-Mum-ta-ha-nah ayat ke-12 yang mafhumnya menyebut, tentang kepentingan menjaga kemaslahatan Ad-Dho’-ru-riyat yakni, keperluan asas yang paling utama, sesuatu yang tidak boleh tidak tanpanya, untuk kita, atau rakyat, meneruskan hidup.

38.      Manakala menerusi pengertian Surah Al-Hajj dan Hadis antaranya riwayat Ahmad,… Haa-Ji-Yat pula, berkaitan perkara yang diperlukan oleh manusia bagi memberi kemudahan kepada mereka supaya tidak berlaku kesempitan yang membawa kepada kesulitan dan kesukaran hidup serta,…
Ketiganya, keperluan kepada Tah-si-niyat hanyalah sekadar menjadi penghias, pencantik dan bersifat pengindah semata-mata, untuk kesempurnaan hidup.

39.      Makanya,… semenjak enam dekad lalu, segala usaha pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional secara lumrahnya diilhamkan oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui kepada pimpinan-pimpinan negara,… agar sentiasa ‘terpandu’ dengan kerangka Maqasid Syariah ini, dan dari masa hingga masa,…
Diperkuatkan lagi oleh falsafah-falsafah seperti Perlembagaan Persekutuan, Ideologi Kebangsaan Rukun Negara, prinsip Wasatiyah atau moderation, Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, dan terkini, aspirasi TN50 sebagai kesinambungan gagasan-gagasan pucuk kepimpinan Kerajaan, zaman-berzaman, yang sekaligus menolak fahaman ekstremisme, tidak berfikiran terlalu liberal, apatah lagi mengamalkan sistem ala-Taliban State.

40.      Jadinya, dari masa ke semasa, kepimpinan yang silih berganti ini, telah menyusun segala dasar dan strategi negara berlandaskan roh serta semangat kerangka dan pedoman Maqasid Syariah.
Tuan Yang Dipertua,

41.      Memang benar, sekalipun kerangka Maqasid ini tidak tertulis atau termaktub secara rasmi dalam mana-mana dokumen Kerajaan, akan tetapi secara berhemah, amalan dan praktis-nya terzahir menerusi sekian-sekian falsafah dan sekian-sekian dasar negara, yang bersambung-sambung dan bertali-temali.

42.      Sebenarnya lagi, manhaj Maqasid Syariah yang dipegang oleh Kerajaan mensasarkan kepada kepentingan umum, yang mendatangi kebaikan kepada rakyat terbanyak, dengan mengambil kira tahap kemampuan Kerajaan mengikut  tiga keutamaan, iaitu Dho’-ru-riyat, Haa-Ji-Yat dan Tah-si-niyat, seperti yang saya sebutkan tadi.

43.      Jadinya, terbuktilah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional yang sudah menempa satu tempoh panjang yang sarat menggendong-gendong bersamanya, begitu banyak selok belok pengalaman, mahupun pengetahuan sepanjang 60 tahun, telah menjadi asas kepada Evolusi Pembangunan serta pembikinan jatidiri sebuah negara bangsa yang boleh diperbanggakan.

44.      Makanya, berbekalkan semua prinsip dan garis-garis besar haluan bernegara itu, pada petang yang berbahagia ini, dengan Kehendak dan Kurnia Allah Yang Maha Kaya, saya membingkiskan sebuah lagi Dokumen Besar demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, yakni Bajet 2018.
Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari,

45.   Bajet 2018 digubal selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-11, dan ini merupakan Bajet yang ketiga di bawahnya. Lalu, untuk mempastikan kemakmuran dan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama dan inklusif, melalui pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh serta berdaya saing, dengan izin Allah terhasil-lah Bajet ini dengan bertemakan “MEMAKMUR EKONOMI YANG INKLUSIF, MENGIMBANG KEUNGGULAN DUNIAWI DAN UKHRAWI DEMI MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT, MENUJU
ASPIRASI TN50” berasaskan kepada Lapan Pe-Tunjang.

Tuan Yang Dipertua,

46.      PE-TUNJANG PERTAMA BAJET 2018 ADALAH MERANCAK PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI. Jumlah pelaburan dalam negara dijangka meningkat 6.7 peratus atau menyumbang 25.5 peratus kepada KDNK pada tahun 2018.

47.      Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menekankan pelaburan berimpak tinggi, seperti petroleum, logistik, rel, automasi dan robotik, serta industri berasaskan eksport.

48.      Sumbangan pelaburan swasta terus mengatasi pelaburan awam dengan nisbah 70:30. Pelaburan swasta dijangka mencecah 260 bilion ringgit pada 2018.

49.      Manakala pelaburan sektor awam dijangka mencecah 109 bilion ringgit, berbanding hanya 75 bilion ringgit pada 2009. Ini sejajar matlamat ETP untuk menjadikan sektor swasta sebagai engine of growth.

50.      Ini termasuk, satu bilion ringgit kepada Lima Koridor Utama. Kerajaan akan membangunkan Wilayah Selatan Perak, merangkumi pembangunan Proton City, Educity dan Youth City, Tanjung Malim serta Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam; pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali, Kelantan serta jalan akses ke Empangan Baleh, Sarawak.

51.      Serentak itu, bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Bagi MIDA pula, kita akan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk dana strategik berimpak tinggi.

52.      Malaysia komited untuk perkongsian maklumat ekonomi yang diperkenalkan oleh OECD. Ini termasuklah menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Base Erosion And Profit Shifting serta Pertukaran Maklumat Secara Automatik mulai September 2018.

Tuan Yang Dipertua,

53.      Pembangunan Malaysia akan dilaksanakan melalui penglibatan inklusif PKS. Buat masa ini, di Malaysia, kita ada antaranya, perusahaan Jeruk Pak Ali, Sydney Cake House, Telekung Siti Khadijah dan Satay Haji Samuri, yang telah bertapak kukuh dengan jenama sendiri, malah ada yang telah menembusi pasaran antarabangsa.

54.      Wakil-wakil PKS yang kita banggakan, turut memeriahkan Pembentangan Bajet ini.  Ucapkan selamat datang kepada mereka ke Dewan Parlimen, serta marilah kita beri tepukan tahniah kepada kejayaan mereka!

55.      Sehubungan itu, Tuan Yang Dipertua, Bajet ini  mensasarkan supaya syarikat-syarikat PKS akan menyumbang 41 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2020, melalui langkah berikut:

Pertama: Tujuh bilion ringgit di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP, iaitu lima bilion ringgit untuk modal kerja dan dua bilion ringgit, pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan untuk sektor perkhidmatan termasuk Industrial Revolution 4.0;

Kedua:     Dalam komitmen Kerajaan untuk mengautomasikan proses pengeluaran dan mengurangkan peng-gajian pekerja asing, satu jumlah besar diberi buat julung kalinya, sebanyak satu bilion ringgit, dengan pinjaman 70 peratus jaminan Kerajaan di bawah SJPP;

Ketiga:    Saiz Dana Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah ditambah 1 bilion ringgit, menjadikan saiz dana 2.5 bilion ringgit. Kemudahan ini diberi subsidi dua peratus ke atas kadar keuntungannya;

Keempat: Sejumlah 200 juta ringgit bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp; dan

Kelima:    Hampir 82 juta ringgit bagi pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi.

56.      Bukan itu sahaja, Kerajaan tidak melupakan usahawan-usahawan mikro, seperti peniaga coconut shake di Klebang, Melaka yang popular itu.

57.      Seiring ini juga, sukacita saya memperuntukkan Bajet paling tinggi pernah diberi kepada TEKUN, iaitu setengah bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

58.      Selanjutnya, bagi menghargai sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM yang majoritinya wanita serta merupakan pembayar balik hutang paling berdisiplin,… bagi mereka terus berusaha gigih, mengubah nasib dan memajukan diri serta keluarga masing-masing,…

Maka,… bagi Bajet ini, apalah salahnya kita tambah-tambahkan lagi dana AIM, sebanyak 200 juta ringgit.
Ini menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah 2.7 bilion ringgit, memanfaatkan hampir 400 ribu peminjam.

Lagipun, telah tercipta pelbagai kisah kejayaan di kalangan peminjam.

Tuan Yang Dipertua,

59.      Menyentuh hal ini,… kita sesungguhnya berasa simpati dan berbaur kagum dengan ketabahan seorang insan bernama Wan Azizah,… atau lebih dikenali dengan nama Kak Wan,… dalam menempuh liku-liku hidup beliau yang begitu mencabar….. namun, berkat kesabaran,… Kak Wan terus cekal berjuang,….
Nampaknya, Kak Wan ada bersama-sama kita pada hari ini,…

Justeru, marilah kita sama-sama memberi tepukan kepada Kak Wan Azizah binti Wan Salleh, yang berada di atas sana,… contoh Sahabat AIM yang telah berjaya menjadi jutawan di bidang ternakan dan pemprosesan ayam, dengan modal permulaan hanya sebanyak 500 ringgit daripada AIM sejak 1993.

60.      Selanjutnya, 80 juta ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa melalui Bank Rakyat dan Bank SME, bagi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera luar bandar.

61.      Eksport negara pula, akan terus dipergiat, terutama kepada sektor eksport yang bernilai tinggi menerusi langkah berikut:

Pertama:      150 juta ringgit kepada MATRADE, MIDA dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Market Development Grant;

Kedua:         Satu bilion ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan insurans, dan dua ratus juta ringgit untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS; dan
Ketiga:         100 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan bagi meng-automasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport.

62.      Tuan Yang Dipertua, para pesawah,… para petani,… para pekebun kecil,… para nelayan,… para penternak,… serta mana-mana rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian. Sesungguhnya, tuan-tuan dan puan-puan lah antara kelompok masyarakat yang sangat dekat di hati saya dan Kerajaan.

63.      Justeru, buat pertama kali dalam sejarah Bajet negara, saya dengan penuh prihatin mengumumkan, peruntukan pa-ling besar kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak, dan penoreh getah sebanyak 6.5 bilion ringgit, antaranya:

Pertama: 2.3 bilion ringgit bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan;

Kedua:     Hampir 500 juta ringgit bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang;

Ketiga:    Hampir 200 juta ringgit bagi program penanaman semula getah dan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan meningkatkan pengeluaran latex berbanding cup lump, sekali gus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil;

Keempat: Hampir 140 juta ringgit bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi;

Kelima:    Dalam memperkasakan sektor pertanian, 200 juta ringgit disediakan bagi inisiatif Sumber Kekayaan Baharu, khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa, durian, dan sektor kulinari serta industri tenusu dengan menubuhkan Lembaga Tenusu dan Ruminan.

Contohnya, di Hong Kong, harga durian Mawsang King dikhabarkan telah mencecah lapan ratus ringgit sebiji.

Keenam:  Buat pertama kalinya, skim khas, untuk program peningkatan pengeluaran kelapa melalui pendekatan penanaman semula kelapa variasi baru dari jenis CARECA dan MATAG akan diperkenalkan dengan peruntukan 50 juta ringgit, memanfaatkan 10 ribu pekebun kecil.

Pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu lembaga baru bersama-sama industri nenas dan buah-buahan; dan

Ketujuh:  Selain penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan bantuan-bantuannya, pada Bajet kali ini, buat pertama kalinya, saya juga ingin mengumumkan bantuan sebanyak 200 ringgit sebulan bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, dengan peruntukan hampir 150 juta ringgit kepada pesawah padi.

Tuan Yang Dipertua,

64.      Ternyata, kini sektor pelancongan merupakan antara penjana pendapatan utama kepada ekonomi negara.

65.      Buktinya World Tourism Organisation melaporkan bahawa pada 2016, Malaysia adalah negara ke-12 yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia.

Bak kata orang,
Dari Melaka ke Negeri Pahang,
Tumpang Berteduh di Bandar Pekan;
Negara Tersohor Pelancong Pun Datang,
Itulah Tandanya Malaysia Aman.

66.      Seterusnya, bagi tahun 2018, dijangka 28 juta pelancong melawat Malaysia. Sehubungan itu:
Pertama: Sukacita diisytiharkan dalam Bajet ini, tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia atau Visit Malaysia Year 2020 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM;

Kedua:     Dua bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua peratus;

Ketiga:    Menambah satu bilion ringgit kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan sebagai pinjaman mudah;

Keempat: Menyediakan 500 juta ringgit bagi program pembangunan dan promosi pelancongan melalui kemudahan infrastruktur pelancongan, homestay dan program eko-pelancongan;

Kelima:    Memperluas hab serantau eVisa bagi memudahkan permohonan visa di seluruh dunia, terutama kepada ekspatriat, pelajar asing dan program Malaysia My Second Home;

Keenam:  Galakan cukai bagi pelaburan hotel baharu bertaraf 4 dan 5 bintang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020; dan

Ketujuh:  Galakan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat pengendali pelancongan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2020.

Tuan Yang Dipertua,

67.      Selain itu, industri pelancongan kesihatan turut diperkukuh menjadi sumber pendapatan negara, termasuklah menyediakan ‘end-to-end service’ kepada pelancong kesihatan ke Malaysia.

68.      Bagi hasrat ini, 30 juta ringgit disediakan kepada Malaysian Healthcare Travel Council untuk melaksanakan:

Pertama: Mempromosi Malaysia sebagai “Hab Rawatan Kesuburan, Termasuk IVF, dan Kardiologi Asia”, yang akan diperluaskan dengan kemudahan eVisa dan pakej perkhidmatan kesihatan bernilai tinggi;

Kedua:     Memperkenalkan Program Flagship Medical Tourism Hospital yang menawarkan insentif khusus kepada hospital swasta bagi menarik pelancong kesihatan;

Ketiga:    Galakan elaun cukai pelaburan sebanyak seratus peratus bagi pelancongan kesihatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020;

Keempat: Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan mendapatkan pensijilan kualiti daripada Badan pensijilan akreditasi kualiti perkhidmatan kesihatan, bagi perkhidmatan pergigian dan ambulatori yang berdaftar dengan MHTC; dan

Kelima:    Insentif khas pengecualian cukai dinaikkan daripada 50 peratus ke 100 peratus dari nilai peningkatan eksport, bagi perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sahaja, mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.

Tuan yang Dipertua,

69.      Dalam mempastikan limpahan ekonomi yang lebih seimbang di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan memperkemas infrastruktur logistik dan pengangkutan, melalui langkah berikut:

Pertama: Pembinaan projek East Coast Rail Link atau ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan yang dapat membawa muatan kargo dan penumpang dalam tempoh empat jam. Kerja-kerja pembinaan fizikal akan bermula Januari 2018.

Selain itu, 110 juta ringgit diperuntukkan untuk menyedia jalan alternatif ke Pelabuhan Klang bagi melengkap dan melancarkan jaringan pengangkutan;

Kedua:     Projek MRT2 jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dengan jarak 52 kilometer meliputi 37 stesen dengan anggaran kos 32 bilion ringgit.

Selain itu, Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.

Selanjutnya, bagi projek LRT3 yang bakal menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang, dijangka siap pada Februari 2021;

Ketiga:    Projek High Speed Rail menghubungkan Kuala Lumpur – Singapura sejauh 350 kilometer dalam masa 90 minit, dijangka memanfaatkan rakyat menjelang 2026;

Keempat: Berita gembira buat rakyat Selangor dan Perak, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sedang dibina dengan kos lima bilion ringgit;

Kelima:    Untuk Projek Central Spine Road, 230 juta ringgit diperuntukkan untuk tahun 2018 bagi meneruskan pembinaan, antaranya pakej jajaran Raub ke Bentong, dan jajaran Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang;

Keenam:  Bajet ini juga mengisytiharkan bahawa,… Pulau Pangkor di Perak sebagai Pulau Bebas Cukai. Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor; dan

Ketujuh: Untuk merancakkan ekonomi di bahagian Utara,

Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan.

Pembangunan ini turut merangkumi Zon Perindustrian Bebas yang akan menjadi tarikan baharu kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

Tuan Yang Dipertua,

70.      Di samping itu juga, Kerajaan melihat secara holistik keperluan rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan selamat dengan langkah berikut:

Pertama: Tiga bilion ringgit disediakan kepada Dana Pembangunan Pengangkutan bagi pembelian aset kapal, pembangunan industri teknologi aeroangkasa dan rel.

Seterusnya, satu bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan teksi;

Kedua:     95 juta ringgit bagi pembaikan dan pembinaan jeti serta pengerukan kuala sungai;

Ketiga:    Berikutan kejadian-kejadian kemalangan bas penumpang, 45 juta ringgit dibelanjakan bagi mewujudkan satu sistem kawalan biometric untuk memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres; dan
Keempat: 55 juta ringgit sebagai subsidi pengangkutan perkhidmatan keretapi luar bandar, dari Tumpat ke Gua Musang.

Tuan Yang Dipertua,

71.      Saya membentangkan Bajet ini sebagai Perdana Menteri untuk kesejahteraan rakyat, tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan kedudukan geografi, demi kepentingan ekonomi negara secara keseluruhannya,… maka saya mengumumkan,…

Pertama: Kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi;

Kedua:     Membina baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan terbang Kota Bharu dan Sandakan;

Ketiga:    Sementara itu, satu kajian mengenai lapangan terbang baru di Pulau Tioman sedang dijalankan oleh Kerajaan; dan

Keempat:Untuk merancakkan pembangunan di Labuan, Kerajaan akan membuat feasibility study bagi membina jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar di Sabah.

Tuan Yang Dipertua,

72.      Sesungguhnya, kita berbangga Malaysia dikenali sebagai peneraju sistem kewangan Islam dunia. Justeru, bagi memperkukuhkan potensi Malaysia sebagai pusat kewangan yang lebih komprehensif, Kerajaan akan meneruskan langkah berikut:

Pertama: 1.5 bilion ringgit untuk pinjaman perniagaan yang dikendalikan oleh SJPP, menggunakan harta intelek sebagai instrumen cagaran dengan memberi jaminan pembiayaan sehingga 80 peratus; dan
Kedua:     Memberi pengecualian duti setem ke atas nota kontrak bagi transaksi jual beli Exchange-Traded Fund dan Structured Warrants bagi tempoh tiga tahun mulai Januari 2018.

73.      Untuk merancakkan pasaran modal dan menyediakan akses pelaburan, Alternative Trading System akan diperkenalkan, tertakluk kepada pematuhan kesemua syarat dan piawaian regulatori yang ditetapkan. Ini akan membolehkan padanan tawaran jual-beli yang lebih efisien dan ketara.

Tuan Yang Dipertua,

74.      Selanjutnya juga, Kerajaan ini turut mendengar rintihan dan keluhan banyak syarikat kecil seperti start-ups yang sukar mendapat akses kepada modal, bagi membawa mereka ke pasaran yang lebih luas.

75.      Untuk itu, Bajet ini akan menggalakkan aktiviti venture capital dengan melaksanakan langkah seperti berikut:

Pertama: Satu bilion ringgit disediakan oleh pelabur institusi utama untuk pelaburan venture capital dalam sektor keutamaan terpilih yang diselaras oleh Suruhanjaya Sekuriti;

Kedua:     Meluaskan pengecualian cukai pendapatan, meliputi fi pengurusan dan fi prestasi yang diterima oleh syarikat pengurus venture capital mulai tahun taksiran 2018 hingga 2022;

Ketiga:    Bagi memberi kemudahan kepada syarikat venture capital untuk melabur di dalam syarikat teroka, adalah dicadangkan had minima pelaburan dalam syarikat teroka dikurangkan daripada 70 peratus kepada 50 peratus, mulai tahun taksiran 2018 hingga 2022;

Keempat: Syarikat atau individu yang melabur dalam syarikat venture capital, diberi potongan cukai bersamaan amaun pelaburan yang dibuat di dalam syarikat teroka, terhad kepada maksima 20 juta ringgit setahun; dan

Kelima:    Galakan pengecualian cukai pendapatan yang bersamaan jumlah pelaburan oleh angel investor dalam syarikat teroka dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

76.      Seterusnya, Kerajaan akan terus merancakkan pasaran Sustainable and Responsible Investment dengan langkah berikut:

Pertama: Pengecualian cukai pendapatan ke atas penerima geran khas Sukuk Green SRI berjumlah enam juta ringgit; dan

Kedua:     Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan fi pengurusan diperluaskan kepada pengurus dana SRI konvensional yang diluluskan mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.
Tuan Yang Dipertua,

77.      Kerajaan akan menggalakkan ekonomi cashless society melalui peningkatan keberkesanan penggajian pekerja asing. Mulai 2018, Bank Negara Malaysia akan memantau pembayaran gaji kepada semua pekerja asing, kecuali pembantu rumah, dibuat melalui akaun bank tempatan
Tuan Yang Dipertua,

78.      PE-TUNJANG KEDUA: MENUJU ASPIRASI TN50. Pada pembentangan Bajet 2017 lalu, saya memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 bagi melakar sebuah negara bangsa yang unggul, agar Malaysia terjulang dalam 20 negara terbaik di dunia.

79.      Dilaksanakan secara bottom-up, saya sendiri telah turun padang, mengadakan siri-siri wacana dan dialog TN50, dengan pelbagai segmen masyarakat seperti belia, mahasiswa, penjawat awam, penggiat seni, pendidik, dan pihak swasta, bagi mendapatkan aspirasi, pandangan dan idea.

Setakat ini, lebih daripada 80 ribu aspirasi telah diterima, menglibatkan 1.8 juta rakyat, mewakili pelbagai golongan dari seluruh negara.

Tuan Yang Dipertua,

80.      Menuju TN50, bagi mencapai kualiti kerja dan kehidupan keluarga yang seimbang, Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah mewajibkan semua bangunan pejabat yang baharu supaya menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, bermula di Kuala Lumpur.

81.      Selain itu, TN50 juga menekankan aspek pembelaan nasib semua golongan, termasuklah kebajikan Orang Kurang Upaya atau OKU.

Justeru, potongan cukai tambahan bagi majikan menggaji OKU diperluaskan kepada majikan yang menggaji pekerja yang mengalami kemalangan atau penyakit kritikal, yang  disahkan oleh Lembaga Perubatan PERKESO bahawa mereka masih layak bekerja.

Tuan Yang Dipertua,

82.      Seterusnya,… demi menjamin masa depan generasi TN50 yang lebih cerah, Kerajaan bersama-sama PNB telah bersetuju supaya,… setiap anak Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 2022, dihadiahkan Dana Tabungan Permulaan sebanyak 200 ringgit melalui unit Amanah Saham di PNB.

83.      Skim yang pertama kali diperkenalkan di negara ini akan dinamakan sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050, atau sesudahnya ini dikenali sebagai ADAM50.

Tuan Yang Dipertua,

84.      Menyentuh tentang pendidikan untuk generasi TN50 lagi, sebanyak 250 juta ringgit disediakan untuk:
Pertama: Menubuhkan pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM, bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini, bagi melatih guru pakar STEM mengguna pakai fasiliti institut pendidikan guru sedia ada, dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia;

Kedua:     Mempertingkatkan modul Computer Science yang termasuk program Coding dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah, yang kini telah pun wujud di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga;

Ketiga:    Memperuntukkan 190 juta ringgit bagi menaiktaraf dua ribu kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21, bagi meningkatkan pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif; dan

Keempat: Menuju TN50, Kerajaan juga melihat peranan penggiat seni untuk mengangkat mutu budaya ke tahap yang lebih tinggi. Untuk itu, hampir 20 juta ringgit disediakan kepada Cultural Economy Development Agency
.
Tuan Yang Dipertua,

85.      Mutakhir ini, Kerajaan amat  berbangga dengan pencapaian terbaik pendidikan tinggi negara kita:
Pertama: Menurut Laporan QS University Ranking 2017/2018, kelima-lima Research Universities di negara ini telah meningkat naik tergolong kumpulan 300 universiti terbaik global, yakni tersenarai antara satu peratus terbaik dunia;

Kedua:     Malah, ranking Universiti Malaya telah meningkat sebanyak 19 anak tangga, ke kedudukan 114, menghampiri 100 universiti terbaik dunia;

Ketiga:    Mengikut ranking Universitas 21, yang menilai sistem pendidikan tinggi, Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-25 terbaik dunia, kita telah mendaki sebanyak 11 anak tangga dalam tempoh 6 tahun;  dan

Keempat: Dengan jumlah 134 ribu pelajar asing di IPT tempatan, kita menghampiri matlamat menjadi Hab Pendidikan Tinggi Serantau.

Tuan Yang Dipertua,

86.      Sejak tahun 2009 hinggalah sekarang, peruntukan untuk biasiswa yang disediakan oleh Kerajaan berjumlah 44 bilion ringgit. Bagi tahun 2018:

Pertamanya:   2.2 bilion ringgit bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan;

Kedua:             400 juta ringgit untuk geran penyelidikan dan pembangunan kepada IPTA, berbanding 235 juta ringgit yang diperuntukkan dalam Bajet yang lalu, termasuk satu peruntukan khas kepada Universiti Malaya untuk mencapai status Top 100 Universities in the World dalam masa terdekat;

Ketiga:            90 juta ringgit diperuntukkan bagi Program MyBrain untuk 10,600 orang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran; dan

Keempat:            Setiap penuntut di IPT dan tingkatan enam pula akan terus diberi Bantuan Baucar Buku bernilai 250 ringgit, memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar.

Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar di semua Universiti Awam, yang nampak kali ini, majoritinya dimenangi oleh pimpinan Mahasiswa Pro-Aspirasi, generasi pewaris TN50. Sebahagian wakil mereka turut bersama kita. Syabas dan tahniah diucapkan!

Tuan Yang Dipertua,

87.      Rakyat Malaysia perlu mempersiap siaga diri, peka dan pantas, melalui latihan dan latihan semula, dalam memenuhi kehendak pasaran kerja. Kerajaan akan terus memberi sokongan melalui,…

88.      Contohnya, Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M, yang telah melatih lebih 138 ribu graduan, akan diteruskan dengan peningkatan sebanyak 5 ribu graduan kepada 25 ribu perantis pada tahun hadapan. Manakala, program temuduga terbuka oleh unit SL1M juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 40 juta ringgit.

89.      Bagi memperluaskan SL1M, syarikat swasta yang mendapat kontrak Kerajaan diwajibkan memperuntukkan satu peratus daripada nilai projek kepada SL1M.

90.      Selain itu, Kerajaan akan mewujudkan pusat sehenti menggabungkan agensi seperti JobsMalaysia, SL1M, PERKESO, HRDF dan TERAJU di UTC untuk menyediakan khidmat nasihat profesional bagi mendapatkan pekerjaan serta latihan.

91.      Bagi mencungkil bakat-bakat terbaik negara, Kerajaan akan mencipta ‘talent file’ program National Leaders Circle di bawah Talentcorp bagi mengenalpasti dan menyenaraipendekkan bakat-bakat pimpinan yang sesuai dan tepat, untuk mengisi jawatan-jawatan penting dan tertinggi.

92.      Kerajaan memandang serius gejala sosial yang membarah dalam masyarakat. Untuk menanganinya, geran sepadan sebanyak 50 juta ringgit bagi membiayai social enterprise dan NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah kemasyarakatan harian serta cabaran sosial secara inovatif yang membantu rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

93.      Pada Ogos dan September yang lalu, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menyaksikan bahawa, Malaysia telah diisytiharkan sebagai Juara Keseluruhan Temasya Sukan SEA Ke-29, dan mendapat tempat Kedua Sukan Para ASEAN Ke-9.

94.      Justeru, bagi pihak Kerajaan, marilah kita beri tepukan paling gemuruh kepada semua ‘wira’ dan ‘wirawati’ kita di atas sana!

Tuan Yang Dipertua,

95.      Bagi mengekalkan momentum bidang sukan dalam menjadi sports powerhouse, Kerajaan memperuntukkan satu bilion ringgit bagi melaksanakan inisiatif meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlit, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.

96.      Kerajaan juga mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara, dengan kos 112 juta ringgit.

97.      Di samping itu, sukacita diumumkan peruntukan 20 juta ringgit kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil, untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan premier.

Tuan Yang Dipertua,

98.      PE-TUNJANG KETIGA:   MENG-UNGGULI PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, LATIHAN, KEMAHIRAN DAN BAKAT. Untuk pengetahuan, perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan negara ASEAN lain secara purata. Bagi tahun 2018, 61.6 bilion ringgit disediakan untuk sektor ini.

Ini termasuk 654 juta ringgit bagi pembinaan empat pra sekolah, sembilan pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak autisme; 48 buah sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional, serta sebuah pusat matrikulasi.

99.      Saban tahun, Bajet ini sentiasa memberi keutamaan kepada Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah. Di sudut ini, 550 juta ringgit diperuntukkan, dengan pecahan berikut:
•          Kepada Sekolah Kebangsaan – 250 juta ringgit;
•          Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina – 50 juta ringgit;
•          Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil – 50 juta ringgit;
•          Kepada Sekolah Mubaligh – 50 juta ringgit;
•          Kepada Sekolah Berasrama Penuh – 50 juta ringgit;
•          Kepada Maktab Rendah Sains MARA – 50 juta ringgit; dan
•          Kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan – 50 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

100.        Menyedari dan menginsafi hakikat bahawa terdapat hampir 2 ribu sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif, seperti bumbungnya bocor, lantai yang rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti.

101.            Untuk itu, melalui kaedah Industrial Building System, Kerajaan dengan penuh rasa tanggungjawab, mengumumkan,… peruntukan ter-besar sejumlah 2.5 bilion ringgit bagi tempoh dua tahun, dengan pecahan 500 juta ringgit buat sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, 1 bilion ringgit di Sabah dan 1 bilion ringgit di Sarawak.

102.            Sejumlah 2.9 bilion ringgit pula, diperuntukkan untuk bantuan makanan, buku teks, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan.

103.        Manakala, Bantuan Persekolahan seratus ringgit seorang kepada murid sekolah berpendapatan rendah diteruskan, dengan peruntukan 328 juta ringgit, memanfaatkan 3.2 juta murid.
Tuan Yang Dipertua,

104.          Menyentuh hal pendidikan, teringat saya intisari sajak Guru Oh Guru yang sering disesuaikan dengan karya Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang atau nama pena-nya Tongkat Warrant, berbunyi:

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,…
Menjadi seorang Perdana Menteri,… menjadi doktor,… menjadi peguam,…
Menjadi ahli politik,… menjadi akauntan,…
Hakikat,… sejarahnya dimula oleh seorang guru biasa,…
Dengan lembut dan sabar,…

Gurulah yang mengajar kita menulis dan membaca.

105.          Begitulah mulianya pengorbanan para guru, bagai lilin yang membakar diri. Maka diucapkan syabas kepada semua guru di seluruh negara, yang telah bertungkus-lumus membangunkan anak-anak bangsa!

Tuan Yang Dipertua,

106.          Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi menguruskan pinjaman untuk anak-anak Malaysia melanjutkan pengajian pendidikan tinggi.

107.          Dalam bab PTPTN ini, semua kena faham,… seperti mafhum dalam hadis, hutang tetap hutang dan wajib dibayar.

108.          Maka hal PTPTN ini usahlah dipolitikkan, tapi peminjam perlu bertanggungjawab membayar balik, kerana generasi kini dan akan datang turut memerlukannya, sebagai mana anda semua.

109.          Kepada semua peminjam PTPTN, Kerajaan bersetuju melanjutkan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018 seperti berikut:

20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual.

110.          Bukan itu sahaja, sukacita saya mengumumkan kelonggaran tambahan PTPTN seperti berikut:
Pertama:     Bagi pelajar dari keluarga B40 yang mengikuti kursus ber-boleh-pasaran tinggi, 200 juta ringgit ditambah untuk menaikkan jumlah pinjaman maksimum mereka; dan

Kedua:        Tempoh grace period pembayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian, berbanding enam bulan pada masa ini.

111.          Seterusnya, kepada para peminjam yang ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke ijazah sarjana muda, mereka boleh meng-gabungkan pinjaman diploma dan ijazah sebagai satu pinjaman, dan hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat pengajian di peringkat ijazah itu.

112.          Jelas sekali,… pelbagai ruang telah Kerajaan berikan,… kalau tak bayar juga, tak tahu lah apa yang kita nak ucapkan lagi,…

Tuan Yang Dipertua,

113.          Selain itu, bagi menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan, 250 juta ringgit disediakan kepada 500 ribu pencarum berumur 7 hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dijenamakan semula sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia atau SSP1M, kelolaan PTPTN.

Geran sepadan lima ratus ringgit akan diberikan kepada mereka yang mempunyai jumlah caruman sekurang-kurangnya lima ratus ringgit, dan hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai usia 18 tahun.

114.          Tambahannya, tempoh pelepasan cukai pendapatan individu dilanjutkan, terhad kepada enam ribu ringgit, bagi simpanan bersih yang dibuat ke dalam SSP1M selama tiga tahun mulai tahun taksiran 2018.

Tuan Yang Dipertua,

115.          Sebetulnya lagi, menyedari kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing, kesemua institusi TVET di bawah tujuh Kementerian, dijenamakan sebagai “TVET Malaysia”, di bawah koordinasi Kementerian Sumber Manusia.

116.          Selain itu, Kerajaan memperuntukkan 4.9 bilion ringgit untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia.

117.          Bagi menggalakkan lepasan TVET melanjutkan pengajian, Kerajaan menyediakan seratus Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET dengan peruntukan 4.5 juta ringgit.

118.          Bagi menyokong perkembangan industri pekerja mahir dalam bidang rel, Kerajaan akan menubuhkan National Rail Centre of Excellence, berperanan menyelia dan menyelaras jaminan kualiti serta akreditasi pendidikan dan latihan rel negara. Sebagai tambahan, syarikat Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., dengan kerjasama IPTA, akan melatih tiga ribu profesional dalam industri ini.

Tuan Yang Dipertua,

119.          PE-TUNJANG KEEMPAT ADALAH MEMACU PEMBANGUNAN INKLUSIF. Sesungguhnya, kualiti infrastruktur dan interconnectivity negara akan terus dipermodenkan.

120.          Justeru, Kerajaan terus bertumpu kepada Projek-Projek Infra-Rakyat bertaraf dunia. Contohnya, MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang berjaya kita siapkan, berkeupayaan menampung 400 ribu pengguna sehari.

121.          Menariknya, MRT ini merupakan ‘success story’ di mana kita bukan sahaja dapat menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual, malah, telah berjaya menjimatkan kos sebanyak 2 bilion ringgit daripada jumlah asal pembinaan.

Tuan Yang Dipertua,

122.          Menjengah kemudahan prasarana di Sabah dan Sarawak pula, Kerajaan telah mengotakan janjinya melalui pembinaan LEBUHRAYA PAN-BORNEO.

123.          Mudah-mudahan, projek ini akan terus mengukir senyuman lebar kepada “urang-urang” Sabah dan Sarawak kerana kemajuan telah sampai di kaki-kaki halaman masing-masing, sehingga kawasan terpencil di Kapit-Ulu Song, yang sebelum ini terputus hubungan dengan dunia luar.
Tuan Yang Dipertua,

124.          Untuk infrastruktur asas terutama di luar bandar, 6.5 bilion ringgit disediakan, antaranya:
Pertama:     2 bilion ringgit untuk projek Lebuhraya Pan-Borneo. Bagi negeri Sarawak, kesemua 11 pakej pembinaan telah diagihkan, manakala lima daripada 35 pakej Fasa Pertama di Sabah sudahpun dianugerahkan, dan 12 lagi dalam proses tender;

Kedua:         1.1 bilion ringgit untuk projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu jalan kampung, surau serta pasar;

Ketiga:        Satu bilion ringgit diperuntukkan melalui SKMM, bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak;

Keempat:    934 juta ringgit untuk projek jalan luar bandar, termasuk hampir 500 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak;

Kelima:        672 juta ringgit untuk bekalan elektrik, termasuk 620 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak melibatkan 10 ribu rumah luar bandar.

Secara keseluruhannya, sejak 2009, lebih 100 bilion ringgit subsidi telah dibelanjakan termasuk subsidi gas bahan api, untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan bekalan elektrik yang murah, berkualiti dan realiable;

Keenam:  420 juta ringgit termasuk hampir 300  juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak, disediakan bagi bekalan air bersih meliputi 3 ribu rumah;

Ketujuh: 500 juta ringgit disediakan untuk Program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam, dan Projek Infrastruktur Asas, untuk memenuhi keperluan dan wishlist rakyat di peringkat akar umbi; dan
Kelapan: 50 juta ringgit diperuntukkan untuk pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, iaitu 30 juta ringgit untuk Sarawak dan 20 juta ringgit untuk Sabah.

Sebahagian daripada projek rakyat-centric ini akan dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta.

125.          National Blue Ocean Shift atau NBOS juga terus dilaksanakan secara pantas dan bersepadu, dengan kos yang minima serta berimpak tinggi.

126.          Bagi 2018, sebanyak 300 juta ringgit diperuntukkan untuk program NBOS termasuk pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township, Mobile CTC, program keusahawanan, Global Entrepreneurship Community serta Usahawan Sosial yang inklusif dan vibrant.

Tuan Yang Dipertua,

127.          Kebajikan para peneroka FELDA terus dibela. Lebih 112 ribu peneroka FELDA telah menerima ‘durian runtuh’ melalui enam insentif utama, antaranya bayaran Insentif Khas Peneroka bernilai 5 ribu ringgit.

128.          Saya juga ingin mengumumkan, Kerajaan akan mengembalikan semula wang ses yang telah dibayar oleh peneroka getah yang telah membuat tanaman semula kelapa sawit, dari tahun 2010 hingga 2016. Ini akan memanfaatkan 8,925 peneroka FELDA dengan peruntukan 43 juta ringgit. Bukan itu sahaja, 60 juta ringgit juga disediakan untuk program tanaman semula sawit.

129.          Selanjutnya, 164 juta ringgit diperuntukkan bagi membina 5 ribu unit Rumah Generasi Kedua FELDA, dengan kerjasama SPNB.

130.          Sebagai tambahan, hampir 200 juta ringgit lagi diperuntukkan kepada FELDA, bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan.

Mustahaknya, Kerajaan kini, dulu dan selamanya akan memperjuangkan nasib para peneroka FELDA.

Tuan Yang Dipertua,

130. Sebagai tambahan, hampir 200 juta ringgit lagi diperuntukkan kepada FELDA, bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan.

Mustahaknya, Kerajaan kini, dulu dan selamanya akan memperjuangkan nasib para peneroka FELDA.

Tuan Yang Dipertua,

131. Bagi mengekang ancaman ideologi ekstremisme seperti IS dan DAESH, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi.

132. Di samping itu, Kerajaan akan Mempertingkatkan Keselamatan Sempadan Dan Ketenteraman Awam dengan memperuntukkan lebih 14 bilion ringgit untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir 9 bilion ringgit untuk Polis DiRaja Malaysia dan lebih 900 juta ringgit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here