Tekun Nasional laksana pelbagai pendekatan untuk dapatkan bayaran balik pembiayaan

0
185
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) telah mengambil pelbagai pendekatan untuk mendapatkan bayaran balik pembiayaan.

“Kami juga menubuhkan anak syarikat, iaitu TEKUN Corporation untuk mengutip semula pembiayaan bagi akaun hutang lapuk,” kata Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan TEKUN Nasional Datuk Baharom Embi ketika diminta untuk mengulas mengenai jumlah pembiayaan tidak berbayar (NPF) agensi itu.

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof memberitahu Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017, kadar pembiayaan tidak berbayar (NPF) adalah 37.82 peratus daripada jumlah keseluruhan portfolio pembiayaan semasa TEKUN Nasional.

Mohd Redzuan berkata, NPF diklasifikasikan sebagai pembiayaan tertunggak melebihi enam bulan manakala hutang lapuk yang diklasifikasikan sebagai tunggakan melebihi 24 bulan berjumlah RM437.6 juta atau 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan.

Baharom berkata antara cara bagi memudahkan usahawan untuk membayar balik pembiayaan ialah dengan menggunakan aplikasi ‘TekunPay’ yang dilancarkan Julai tahun lepas.

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun melalui Google Playstore atau Apple Store untuk melihat paparan terperinci bagi setiap maklumat akaun pembiayaan dan hanya boleh diakses oleh penerima biaya sahaja, katanya.

Beliau berkata selain itu, bagi peminjam baharu, mereka digalakkan membuat permohonan di bawah Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN dan Skim Pembiayaan Program TemanNita yang menggunakan konsep berkumpulan (lima orang/ kumpulan) yang mewajibkan setiap usahawan dalam kumpulan membuat pembayaran balik secara konsisten.

Baharom ditemui selepas sesi taklimat sempena lawatan rasmi Mohd Redzuan ke ibu pejabat TEKUN Nasional pada Jumaat lepas. Turut hadir Timbalan Menteri Dr Mohd Hatta Ramli.

Lawatan itu bertujuan mendapatkan maklumat serta status semasa berkenaan program-program pembiayaan yang disediakan khusus untuk usahawan mikro Bumiputera dan India.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here