Teliti ekonomi semasa sebelum percaya Malaysia bankrap – Ismail Sabri

0
22

PUTRAJAYA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri hari ini mengingatkan warga kementerian itu dan penjawat awam amnya, agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan Malaysia negara bankrap yang disebarkan menerusi media sosial.

Sebaliknya kata beliau, mereka perlu berfikir secara rasional dan menilai keadaan sebenar ekonomi berdasarkan pencapaian negara.

Negara tidak akan mampu mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku kedua 2017 yang merupakan pencapaian luar biasa dalam iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, jika dakwaan itu benar, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Selain itu katanya, projek mega yang dirancang kerajaan seperti Lebuhraya Pan Borneo, Projek Laluan Rel Pantai Timur serta Rel Berkelajuan Tinggi juga adalah bukti pencapaian ekonomi negara.

“Sebab itu kita perlu rasional, jangan terima bulat-bulat (apa yang disebarkan) di media sosial dan perlu bertanya bagaimana projek besar tersebut boleh dilaksanakan jika negara akan bankrap,” katanya selepas menghadiri Majlis Penghayatan Bulan Kemerdekaan 2017 peringkat kementeriannya.

Beliau juga berkata dakwaan Malaysia negara bankrap sengaja dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan rakyat.

“Tugas mereka adalah untuk jadikan rakyat keliru dan apabila rakyat mula mempersoal… itu sudah memadai dan satu kejayaan kepada mereka,” katanya.

Ismail Sabri dalam pada itu mahu warga kementerian menerapkan budaya kerja secara berkumpulan dan menjadikan semangat dan kebersamaan pemimpin terdahulu semasa menuntut kemerdekaan sebagai iktibar dan panduan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pekerja.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here