Tembikai boci

0
54



Kuantan: Imej Kampung Ubai, di sini, yang terkenal dengan tanaman tembikai berkualiti tinggi sejak puluhan tahun lalu menjadi kelebihan kepada petani untuk memasarkan produk itu terus kepada pengguna.

Boci dan kuning adalah dua jenis tembikai banyak ditanam petani yang mengusahakan secara komersial untuk pasaran tempatan dan luar negeri ini.

Petani, Senik Mohd Yusof, 51, berkata, musim ini dia dibantu adiknya Ahmad, 38, dan beberapa saudara terdekat mengusahakan tanaman tembikai seluas 1.6 hektar.

Katanya, selain mengusahakan projek tanaman tembikai sejak lebih 35 tahun lalu, dia turut terbabit dengan tanaman pisang seluas 1.7 hektar membabitkan jenis nangka, sematu dan siam.

Menurutnya, tanaman tembikai memerlukan kesabaran terutama apabila berdepan musuh seperti babi, kera dan lembu penduduk setempat.

“Saya mengeluarkan perbelanjaan lebih RM4,000 menyediakan pagar elektrik yang menggunakan tenaga solar dan bateri.

“Sekali terkena pagar elektrik haiwan berkenaan tidak akan datang menceroboh kawasan kebun,” katanya ditemui selepas menjual tembikainya kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, di sini.

Senik berkata, selain menjual kepada pemborong tempatan dan luar dia turut memasarkan terus kepada pengguna dengan menjualnya di tepi jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai dengan harga antara RM2 dan RM2.50 sekilogram.

Beliau mengusahakan projek pertanian sepenuh masa berkata, musim ini dia bermodalkan RM12,000 bagi projek tanaman 4,000 pokok tembikai.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, dia cuba memasarkan tembikai kepada FAMA untuk pasaran Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya akan terus menjual tembikai dan pisang kepada FAMA selepas ini bagi memastikan hasil dituai tidak rosak selain mampu memberikan pendapatan lebih dengan menggunakan harga lantai.

“Kerjasama dengan FAMA Pahang akan diteruskan kerana agensi kerajaan itu terbukti banyak membantu golongan petani,” katanya yang berpengalaman luas mengusahakan projek tembikai dan pisang.

Pengurus Pusat Operasi FAMA Kuantan Ali Mat Salim berkata, pihaknya mengadakan perjanjian pembelian tembikai dengan beberapa pekebun di Kampung Ubai pada musim ini.

Katanya, peringkat permulaan pihaknya akan membeli sebanyak 20 tan tembikai jenis boci dan kuning untuk pasaran tempatan termasuk agihan ke beberapa pusat jualan di Selangor dan Ibu Pejabat FAMA Bandar Baru Selayang, Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here