Tembikai tanaman sampingan ladang sawit

0
36



Pekebun kecil kini boleh menarik nafas lega selepas Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melancarkan projek perintis tanaman tembikai sebagai tanaman sampingan di ladang sawit yang tengah menjalani proses tanam semula.

Projek perintis yang dijalankan di kawasan seluas 125.18 hektar di ladang Palong 21, Negeri Sembilan bertujuan mencari mekanisme terbaik menjana pendapatan alternatif kepada peneroka FELDA yang menjalankan proses tanam semula.

Pemilik ladang akan kehilangan hasil untuk tempoh tiga tahun dan dalam masa yang sama menanggung kos tanam semula.

Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, projek perintis ini menjadi bukti komitmen kemampanan kumpulan bukan tertumpu operasi perniagaan sendiri, malah membantu pembangunan kehidupan masyarakat sekeliling khususnya peneroka FELDA.

“Kami sedar bahawa proses tanam semula memberi cabaran yang cukup besar kepada pemilik ladang di mana mereka kehilangan hasil untuk tempoh kira-kira tiga tahun.

“Pada masa sama, mereka terpaksa menanggung kos tanam semula. Oleh itu, kami melaksanakan pelbagai projek perintis tanaman sampingan dan yang terbaru membabitkan tembikai.

“Hasil tanaman ini menjana pendapatan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kos penjagaan ladang ketika dalam keadaan pramatang,” katanya selepas pelancaran di FELDA Palong 21, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mohd Isa berkata, tembikai antara buah tropika di tangga ketiga dalam senarai buah-buahan yang boleh dikomersialkan di negara ini.

“Beberapa kajian tanaman sampingan dengan jangka hayat pendek seperti pisang, soya, nanas, kacang dan jagung dilaksanakan anak syarikat FGV, Felda Agriculture Services Sdn Bhd (FASSB),” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad berkata, projek perintis ini membuka peluang kepada pengusaha pertanian dan penduduk setempat menyediakan tanah untuk menjalankan pertanian sampingan berintegrasi secara kontrak.

“Penyediaan tanah pertanian untuk jangka masa pendek ini sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FGV kepada penduduk setempat yang berminat menjalankan pertanian, tetapi menghadapi kekangan tanah.

“Daripada tanah terbiar sementara menunggu pokok sawit matang, lebih baik kita mengoptimakan penggunaannya. FGV menjadi perintis sebelum model ini dapat dipraktikkan bukan saja penduduk sekitar malah semua pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here