Tentera beret merah Thailand kawal rumah kerajaan

0
53

BANGKOK: Tentera Thailand telah mengerahkan kira-kira 30 anggota “Beret Merah” untuk mengawal Rumah Kerajaan dalam usaha untuk mempertingkatkan keselamatan di bangunan-bangunan kerajaan dua hari selepas sebutir bom meletup di sebuah hospital yang dikendalikan oleh pihak tentera.

Rumah kerajaan itu yang melambangkan tampok kuasa kerajaan menempatkan pejabat Perdana Menteri dan pejabat menteri kabinet yang lain.

Tentera “Beret Merah” yang cukup terlatih itu dari Markas Peperangan Khas Tentera dilihat memeriksa bangunan dan kemudahan dalam Rumah Kerajaan bagi memastikan langkah-langkah keselamatan berada pada tahap tertinggi.

Susulan insiden letupan di Hospital Pramongkutklao yang meragut 21 nyawa, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwan mengarahkan kawalan keselamatan terutama di bangunan kerajaan dan tempat awam dipertingkatkan.

Prawit juga bertanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri.

Letupan di hospital tersebut yang disebabkan oleh bom paip berlaku genap seminggu selepas bom paip meletup di hadapan bangunan Teater Nasional dekat Sanam Luang di Bangkok, menyebabkan dua orang cedera ringan.

Satu bom paip juga meletup bulan lalu di hadapan bangunan Loteri Nasional di Jalan Ratchadamnern, menyebabkan dua orang dimasukkan ke hospital kerana cedera ringan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here