Terengganu akan adakan bantahan kekejaman Israel di Taman Tamadun Islam

0
25

Kerajaan negeri Terengganu akan mengadakan bantahan terhadap kekejaman rejim Israel ke atas Palestin di perkarangan Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man pada 11 Ogos nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata bantahan itu bagi menunjukkan sokongan rakyat Malaysia khususnya di Terengganu dalam usaha terus memberi tekanan terhadap rejim tersebut agar berhenti menindas rakyat Palestin.

Bantahan itu juga akan diadakan di monumen Masjidil Aqsa pada sebelah malam bersama dengan program solat Maghrib, Isyak dan solat Hajat secara berjemaah di Masjid Kristal terlebih dahulu dan dianggarkan seramai 2,000 orang yang hadir pada malam tersebut, katanya ketika berucap di Majlis Meraikan Bakal Haji Parlimen Kuala Nerus, di sini pada Ahad.

Pihak berkuasa Zionis menghalang umat Islam Palestin memasuki Masjidil Aqsa pada 14 Julai dan kini mereka boleh kembali bersolat bermula 27 Julai lepas selepas dua minggu. Ia selepas Israel berdepan tekanan setelah mereka menutup dan memperkenalkan langkah keselamatan dengan memasang pengesan logam di pintu masjid.

Ekoran peritiwa tersebut, umat Islam Palestin mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan berkenaan dan menyebabkan tiga remaja Palestin maut.

Beliau juga turut berpesan kepada bakal haji agar tidak membawa unsur-unsur politik semasa menunaikan haji dan menumpukan sepenuh perhatian kepada rukun Islam kelima itu.

“Kita juga memohon agar mereka mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara agar sentiasa aman tanpa sebarang masalah terutamanya bagi negeri Terengganu Darul Iman,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Kira-kira 410 jemaah haji daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, DUN Tepuh, DUN Teluk Pasu dan DUN Bukit Tunggal telah diraikan dan menerima sumbangan daripada Ahmad Razif.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here