Terengganu perlukan anak jati bantu pembangunan negeri – Ahmad Razif

0
48



PUTRAJAYA: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mahu anak-anak perantauan negeri itu terus menyalurkan pandangan dan idea dalam membantu kerajaan negeri membangunkan Terengganu.

Bercakap kepada media pada majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar Terengganu dan Kepimpinan Negeri di sini, hari ini, beliau berkata anak-anak perantauan yang berjaya dalam pelbagai sektor sewajarnya mampu membantu kerajaan negeri membangunkan Terengganu secara inklusif.

“Dengan penganjuran majlis sebegini, kita berharap dapat membina hubungan yang lebih baik dan diharapkan selepas ini lebih banyak pandangan, idea dan bantuan daripada mereka yang tinggal di sini (untuk Terengganu),” katanya.

Terdahulu, Ahmad Razif menyampaikan tiga bentuk sumbangan kepada anak-anak Terengganu, mengikut kelayakan masing-masing iaitu Dana Raya,Dana Transformasi Orang Muda serta sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik daripada Tabung Darul Iman.

Menurutnya walaupun anak-anak negeri kini tinggal di luar Terengganu, mereka kini layak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan negeri.

“Mungkin, sebelum ini kita terlepas pandang kerana polisi sebelum ini hanya anak-anak yang belajar di Terengganu dan apa sahaja bantuan adalah berasaskan dalam negeri.

“Melalui transformasi yang kita perkenalkan, kita memperluaskan bantuan kepada keseluruhan mereka yang berada di dalam dan luar negara,” katanya.

Kira-kira 10,000 anak perantauan Terengganu menghadiri majlis tahunan itu kali kedua itu.

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here