Tergamak 'Orang Itu' mencerca keturunan Bugis – Najib

0
118
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2018 turut menarik perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan isu seorang pemimpin veteran yang didakwa menghina masyarakat berketurunan Bugis baru-baru ini.

Walaupun tanpa menyebut nama sesiapa, kenyataan itu ditujukan kepada bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad

Menurut Najib, apa yang lebih penting adalah semua pihak perlu terus berjiwa besar.

“Sayang seribu kali sayang, dalam pada kita ingin membina peradaban santun susila di antara satu sama lain, sampai hati, dan tergamak sungguh ‘Orang Itu’ memaki, mencerca etnik bangsa dari keturunan Bugis,” katanya semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat.

Beliau turut menyampaikan seloka dalam loghat utara.

“Orang Kedah semua baik-baik dan ramah-ramah, Cuma seorang dua saja, yang mudah lupa diri, kerajaan BN ini ikhlas, kerja untuk negara dan ummah, inilah dia bajet yang kita semua duk nanti-nanti,” ujar Najib.

Tambah Najib, Bajet 2018 yang dibentangkan beliau adalah untuk dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, dan keturunan.

“Maksud saya, berdiri saya pada petang Jumaat yang mulia bertarikh 27 Oktober ini, bersamaan dengan 7 haribulan Safar 1439 Hijriah, adalah, tidak lain dan tidak bukan, untuk membawa khabar  lebih riang dan gembira, yang bakal menguntum serta menyimpul senyuman di wajah semua.

“Yang terpaling mustahak adalah untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tercinta, tidak kira apa juga kaum, bangsa dan latar keturunan,” katanya lagi.

Tun Dr Mahathir sebelum ini bertegas beliau tidak akan membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka ekoran kenyataannya yang dianggap menghina masyarakat Bugis.

Pengerusi Pakatan Harapan itu semasa berucap dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya menyebut tentang pemimpin tertentu yang mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Saksikan pembentangan Bajet 2018 di sini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here