Tergelincir sebelum memancing, kegembiraan empat sekawan bertukar tragedi

0
57



GERIK: Kegembiraan empat sekawan untuk memancing ikan bertukar menjadi tragedi apabila seorang daripada mereka maut berikutan tergelincir di Air Kulim, Kenayat, di sini pada petang Isnin.

Dalam kejadian tersebut, mangsa Mohd Nazri Mazlam, 31, dipercayai telah pergi ke sungai berhampiran hutan Air Kulim sekitar pukul 4 petang bersama tiga rakannya sebelum terlibat dalam insiden yang meragut nyawa itu.

Timbalan Ketua Polis Gerik, DSP Mohd Sohaimi Ishak berkata, keempat-empat sekawan itu cuba untuk menuruni bukit sekitar tiga kilometer daripada sungai sebelum mangsa tergelincir dan terkena sawan lalu tidak boleh bernafas.

“Kawan kepada mangsa kemudian telah bergegas keluar untuk mendapatkan bantuan daripada keluarga dan ketua kampung, dan masuk ke dalam hutan itu semula sekitar pukul 7 malam bersama pasukan bantuan.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Selasa.

Kata Mohd Sohaimi, mangsa yang difahamkan memang mempunyai sejarah penyakit sawan merupakan seorang penoreh getah di Felda Papulut, Gerik.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik dan hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah kecederaan parah di bahagian kepala berikutan terkena objek keras semasa terjatuh,” katanya lagi.

Sohaimi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here