Teringin tapi belum sedia

0
43



Hampir 11 tahun membabitkan diri dalam bidang lakonan, Syafie Naswip, 25, akui belum bersedia bergelar pengarah.

Bagi pelakon yang popular dengan filem Mukhsin itu, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam bidang lakonan.

Walaupun hasrat untuk bergelar pengarah itu ada, namun sekarang bukan masa sesuai.

“Saya anggap diri masih belajar. Walaupun sudah lama mungkin pada pelakon lain mereka sudah berjinak-jinak dalam bidang pengarahan.

“Saya juga mempunyai keinginan sama namun bukan sekarang masanya. Rasanya saya lebih selesa berlakon saja.

“Lakonan memberi saya peluang mendalami pelbagai watak dan merasai pelbagai pengalaman hidup orang lain,” katanya.

Lakonan terbaru Syafie baru saja ditayangkan pada malam Aidilfitri lalu. Menerusi telefilem raya berjudul Kembalikan Syawalku dia memegang watak sebagai lelaki lumpuh yang terlantar.

“Ini lakonan saya yang paling mencabar. Dialog tidak banyak, malah saya juga perlu menunjukkan diri sebagai lelaki yang kudung.

“Saya suka mencuba sesuatu yang baru apatah lagi berpeluang berlakon di samping pelakon hebat dan senior seperti Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Sabri Yunus dan Sharifah Amani.

“Mereka semua memberikan kerjasama yang baik untuk saya lebih menghayati watak sebagai lelaki yang kehilangan kaki,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here