Teruja sambut raya dengan bapa 'baru'

0
577
Advertisement



PELAKON Nazrief Nazri teruja apabila pertama kali menyambut Aidilfitri dengan bapa ‘barunya’, Yusof Yaakob.

Ibu Nazrief, Radziah Idris, 50 bernikah dengan Yusof pada Disember tahun lalu, selepas bercerai dengan bapa Nazrief, dua tahun lalu.

Pelakon utama drama Makmum Yang Paling Aku Cinta itu berkata, dia bersyukur melihat ibunya gembira di samping keluarga baharu.

“Bapa tiri juga ada anak-anak, jadi sambutan hari raya saya tahun ini menjadi bertambah besar dan meriah dengan kehadiran ahli keluarga baru,” katanya.

Nazrief berkata, dia berbesar hati dengan pengorbanan dan tanggungjawab dilaksanakan oleh bapa tirinya, sehingga membuatkan ibunya kembali sihat.

“Selepas bercerai dengan bapa, ibu jadi murung dan kesihatannya terganggu. Malah, jujur cakap, Aidilfitri tahun lalu adalah dugaan paling besar buat saya kerana ibu jatuh sakit dan seperti orang hilang semangat.

“Berbeza dengan tahun ini, kegembiraan jelas terpancar pada wajah ibu, dan dia bersungguh-sungguh membuat persiapan dengan membakar kuih juga merancang memasak hidangan istimewa pada malam Aidilfitri nanti,” katanya.

Menceritakan perancangan sambutan Aidilfitri bersama ibu dan bapa tirinya, Nazrief berkata, seperti biasa dia akan pulang menyambut Aidilftri di kampung ibunya di Seri Menanti, Negeri Sembilan dan keesokan harinya baru mereka akan berkumpul di kampung bapa tirinya di Lenggeng.

“Mujur kampung ibu dan kampung bapa tiri dekat-dekat, jadi untuk beraya bersama bukan satu masalah buat kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here