Tetap pertahan prinsip – Ashraf Muslim

0
403
Advertisement



MESKIPUN tawaran berlakon terjejas, namun pelakon Ashraf Muslim tetap dengan prinsipnya menolak babak bersentuhan dengan artis wanita dalam lakonan hingga kini.

Menurut Ashraf, dia juga sudah bersedia jika namanya merudum apabila meletakkan syarat kepada pihak produksi sejak 2010.

“Sebagai pelakon, dugaan dalam karier seni tetap ada bila kita meletakkan syarat tertentu kepada produksi.

“Bila letak syarat menolak babak bersentuhan dengan artis wanita, watak yang ditawarkan juga agak terbatas.

“Namun, saya tetap berpegang dengan prinsip itu sampai sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Namun kata Ashraf, dia juga bersyukur kerana pihak produksi drama Biar Aku Jadi Penunggu sangat menghormati prinsipnya ketika bergandingan dengan aktress Janna Nick dalam drama itu sebelum ini.

“Walaupun tiada babak bersentuhan dengan Janna dalam drama itu, namun penonton masih dapat melihat keserasian kami sebagai suami isteri dalam cerita itu.

“Kalau ada babak pegang-pegang pun untuk suami isteri, tetap ada berlapik.

“Janna juga faham dengan prinsip saya yang tidak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama,” katanya.

Katanya, sebelum menerima sesuatu tawaran, dia juga sudah meletakkan syarat kepada pengarah dan pihak produksi terlebih dulu.

“Pada pandangan saya, pengarah tidak perlu memaparkan babak suami isteri ‘satu selimut atas katil’ kerana semuanya boleh dilakukan dengan teknik pergerakan kamera yang memainkan peranan penting,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ashraf, dia juga tidak suka dirinya digelar sebagai pendakwah dalam bidang hiburan tanah air.

“Saya juga lebih suka berdakwah dalam drama dengan memilih naskhah yang ada mesej, dan bukan kosong kepada penonton.

“Contohnya, saya suka dengan drama bersiri Nur lakonan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli yang bersiaran di slot Samarinda sebelum ini.

“Cerita itu ada kelainan dengan memaparkan kisah pelacur yang kembali ke pangkal jalan.

“Bila tiada tawaran berlakon, saya juga akan fokus kepada perniagaan dan bidang penerbitan.

“Sebagai penerbit drama dan filem, saya juga pastikan setiap karya diterbitkan juga patuh daripada segi syariah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here