Tetap sukar tanpa UAE – Kim Swee

0
303
Advertisement



KUALA LUMPUR: ‘Penyingkiran’ pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) daripada Kumpulan E bagi saingan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 nyata masih belum dapat melegakan pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee.

Meskipun saingan Kumpulan E kembali seperti undian asal selepas undian ketiga dijalankan namun Kim Swee mengakui laluan anak buahnya tetap berliku meskipun kini ia hanya membabitkan empat kumpulan sahaja.

“Ketiadaan UAE dalam Kumpulan E sebenarnya tidak mendatangkan banyak perbezaan kerana yang jelas adalah hanya satu perlawanan yang berkurangan.

“Cabaran masih lagi besar buat kita di mana meskipun tanpa kehadiran UAE, kita masih perlu berdepan Korea Selatan dan dua lagi pasukan iaitu Krygyzstan dan juga Bahrain yang perlu dihormati.

“Jadi, kita tidak boleh mengambil mudah dalam setiap perlawanan yang akan diharungi pada temasya itu nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, skuad B-23 akhirnya boleh kembali ‘bernafas’ selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) diundi keluar daripada Kumpulan E Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Selepas diuji dengan undian kali kedua sebelum ini yang menyebabkan Kumpulan E dibarisi lima pasukan sekali gus menyajikan laluan lebih sukar buat skuad B-23, mereka mungkin sedikit lega apabila melihat keputusan undian kali ketiga di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), semalam.

Keputusan undian kali ketiga itu menyaksikan UAE diundi bagi menggantikan Iraq dalam Kumpulan C yang sebelum ini membuat keputusan menarik diri.

Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan, Kim Swee menyatakan pasukannya akan kembali ke tanah air, Selasa ini sebelum menjalani satu lagi aksi persahabatan.

“Saya masih lagi menunggu jadual rasmi perlawanan daripada penganjuran dan jika aksi pertama kita berlangsung pada 15 Ogos, berkemungkinan besar kita akan mengatur satu lagi aksi persahabatan,” katanya.

Sebelum ini, perancangan awal Kim Swee untuk menghadapi Sukan Asia terganggu apabila terpaksa membatalkan aksi persahabatan dengan skuad B-23 Arab Saudi yang sepatutnya berlangsung pada 9 Ogos gara-gara UAE diundi dalam Kumpulan E pada undian kedua, 25 Julai lalu.

Ia susulan saingan kumpulan itu yang dihuni lima pasukan selepas kemasukan UAE terpaksa dimulakan lebih awal iaitu pada 10 Ogos berbanding jadual asal, 14 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here