Tetap waspada

0
61



Alor Setar: Kedah tidak memandang rendah kemampuan pasukan lain dalam Kumpulan C saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia selepas diramal mampu mengulangi kejayaan edisi lalu.

Skuad Lang Merah diundi bersama Melaka United, UiTM FC serta juara dua kali, Kelantan yang memberi laluan cerah buat pasukan itu untuk melangkah ke final Piala Malaysia.

Ketua pasukan Kedah Khairul Helmi Johari berkata, walaupun undian kumpulan dilihat memihak kepada mereka, namun tidak boleh memandang rendah pesaing lain kerana dalam padang apa saja boleh berlaku.

Menurutnya, walaupun Kedah berada pada kedudukan selesa untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia kerana mendapat undian mudah mereka tetap perlu berwaspada.

“Saya berharap kami dapat terus mengekalkan momentum dan membawa piala itu pulang ke Kedah,” katanya ketika ditemui pada majlis santapan malam meraikan pasukan Lang Merah di Dewan Santapan Istana Anak Bukit, Alor Setar, malam kelmarin (gambar).

Sementara itu, pemain tengah Kedah Baddrol Bakhtiar berkata, mereka mensasarkan untuk mempertahankan dan membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Jelapang Padi ini.

“Kami akan bagi komitmen 100 peratus selain cuba memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada ketika menentang Melaka United, UiTM FC dan Kelantan,” katanya.

Pada majlis itu, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menyampaikan ganjaran RM20,000 kepada setiap pemain Kedah selepas memenangi Piala FA menewaskan Pahang, Sabtu lalu.

Turut memperoleh habuan adalah barisan kejurulatihan yang membabitkan nilai keseluruhan RM448,000.

SHARE
Previous articleSalahkan hujan!
Next articleRela lepas demi TRW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here