Tewas aksi pertama

0
57



Klagenfurt, Austria: Hasrat skuad bawah 15 (B-15) tahun negara membuat kejutan dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Torneo Delle Nazioni 2017 tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada Mexico di Stadium Klagenfurt, Austria, hari ini.

Aksi yang berlangsung di satu daripada stadium untuk Kejohanan Piala Euro pada 2008 lalu menyaksikan penguasaan 50-50 daripada kedua-dua pasukan yang sering melancarkan serangan menerusi bahagian tepi.

Skuad negara hampir meraih gol pertama hasil larian cantik Luqman Hakim dari kawasan tengah padang, begitupun ianya gagal disudahkan rakan sepasukannya Amirul Ashrafiq yang menendang lemah buat memudahkan tugas Eduardo Garcia menangkap percubaan itu pada minit ke-13.

Mexico yang sekali sekala menguji gawang negara berpeluang memecah kebuntuan pada minit ke-31 namun lambungan Alejandro Gomez sekadar melewati palang gol.

Seminit kemudian, penjaga gol negara Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang menghalang sepakan kencang Kevin Mariscal dari luar kotak penalti buat melegakan seketika kem Malaysia.

Bersambung babak kedua memperlihatkan pasukan Mexico yang dibimbing Miguel Gomez memperkemaskan rentak permainan, bagaimanapun skuad cilik Harimau negara terlebih dahulu mencemaskan gawang lawan menerusi percubaan tonggak pertahanan Muhammad Hariz Mansor sedikit tersasar ke kiri pintu gol pada minit ke-37.

Enam minit selepas itu jentera tengah Mexico, Kevin Mariscal hampir meletakan pasukannya di depan selepas bijak menyambut hantaran Oliver Correa tetapi rembatannya gagal menemui gawang gol.

Perlawanan menjadi semakin sengit apabila masing-masing terus berbalas serangan dan anak buah Lim Teong Kim sekali lagi gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menamatkan kebuntuan gol namun percubaan Harith Haikal sempat dihadang pertahanan lawan pada minit ke-48.

Keghairahan Malaysia memburu jaringan akhirnya mengundang padah apabila Oliver Correa berjaya mencetak gol pertama pada minit ke-58 hasil kelekaan pertahanan negara merantai pergerakan penyerang itu.

Skuad negara cuba meningkatkan tempoh perlawanan untuk memburu gol penyamaan namun pertahanan Mexico kental bertahan sehingga tamat aksi penuh yang menyaksikan Malaysia gagal meraih sebarang mata.

Sementara itu, dalam aksi terdahulu tuan rumah Austria berjaya meraih tiga mata penuh apabila menewaskan Crotia dengan 2-0 sekali gus meletakkan mereka kini memimpin kumpulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here