TFC, Lang Merah kongsi mata

0
281
Advertisement



KEDAH dan Terengganu terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menyukarkan Kedah untuk menamatkan musim di tangga kedua liga yang kini di saingi sengit Perak dan Pahang.

Kedah memulakan percubaan pada minit ke-13 melalui Baddrol Bakhtiar dari sebelah kanan gawang Terengganu namun penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh mudah membaca gerakan tonggak Lang Merah berkenaan.

Selang dua minit kemudian, Terengganu mula mengasak dan cubaan Kipre Tchetche tersasar di sebelah kanan gawang Kedah.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan ia hari yang cukup sibuk buat Wan Azraie dan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.

Dua minit sebelum babak pertama berakhir, Baddrol menceriakan penyokong Kedah dengan gol pertama dan kedudukan 1-0 kekal hingga rehat.

Bermula babak kedua, kedua dua pasukan kembali mengatur serangan dan penyerang Terengganu, Do Dinghyun dan Igor Zonjic hampir menghasilkan jaringan tetapi kecekapan Ifwat cukup melegakan penyokong Lang Merah.

Asakan demi asakan yang dilakukan Terengganu akhirnya berbaloi apabila tandukan Kamal Azizi Zabri menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-61.

Kedah cuba bangkit memburu gol kedua melalui percubaan Akram Mahinan pada minit ke-80 dan Baddrol, enam minit kemudian tetapi kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here