Thailand tahan wanita bertudung, suspek pengeboman kuil Bangkok

0
18

BANGKOK: Polis Thailand pada Rabu menahan seorang wanita yang dikehendaki kerana menjadi suspek insiden pengeboman sebuah kuil pada tahun 2015 di Bangkok hingga mengorbankan 20 orang termasuk pelancong asing, lapor Reuters.

Insiden letupan di Kuil Erawan yang popular dalam kalangan pelancong di tengah-tengah bandar raya Bangkok itu, sebelum ini dilaporkan mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan kumpulan minoriti Muslim Uighur dari Xinjiang, wilayah barat China.

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap letupan yang antara lain membunuh lima warga China dan dua dari Hong Kong serta mencederakan lebih daripada 120 orang tersebut.

Suspek wanita Thailand itu, Wanna Suansan, 29, telah ditahan di lapangan terbang Bangkok, kata Timbalan Ketua Polis, Srivara Ransibrahmanakul.

Bagaimanapun, Srivara enggan mendedahkan dari mana wanita itu datang.

Wanna berdepan pelbagai dakwaan termasuk merancang pembunuhan dan memiliki senjata serta bahan letupan. Dia adalah antara 17 orang yang dikehendaki kerana terkait dengan pengeboman itu.

Dua lelaki Uighur yang turut didakwa melakukan serangan bom itu kini masih dalam perbicaraan di Thailand. Mereka bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Pasukan penyiasat berkata, pada tahun 2015, Wanna menyewakan sebuah bilik di Bangkok kepada salah seorang lelaki itu. Wanna telah meninggalkan Thailand sejurus serangan itu berlaku.

Polis tidak menyifatkan serangan itu sebagai aktiviti ‘keganasan’, sebaliknya mengaitkan insiden berkenaan sebagai tindak balas terhadap usaha pihak berkuasa membanteras rangkaian sindiket penyeludupan manusia.

Seorang saudara Wanna berkata, kepulangan Wanna ke Thailand adalah untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here