The Chainsmokers ubah persepsi peminat

0
66



Pada mulanya ramai memandang sinis kumpulan duo ini kerana single pertama mereka berjudul Selfie dikatakan sangat mengarut.

Bagaimanapun, lagu itu sebenarnya membuka laluan besar buat The Chainsmokers untuk dikenali di seluruh dunia.

Terbukti, duo yang dianggotai Andrew Taggart dan Alex Pall yang memperjuangkan ‘Electronic Dance Music’ (EDM) ini serius menghasilkan karya yang bermutu.

Lagu Closer dan Don’t Let Me Down berjaya mengubah persepsi pendengar terhadap mutu karya mereka. Ini diikuti lagu Paris dan terbaru kerjasama mereka dengan Coldplay iaitu Something Just Like This yang sangat popular.

Berkongsi mengenai transisi itu, The Chainsmokers yang ditemu bual baru-baru ini berkata, kunci utama mereka ialah belajar daripada kesilapan.

“Jatuh bangun dalam kerjaya banyak mengajar kami. Ia membantu kami dalam menghasilkan lagu yang lebih bermutu dan menjadi penerbit muzik yang bagus.

“Kami sentiasa belajar dan mendapatkan ilmu sebanyak yang mungkin. Ternyata ia sangat berguna. Sekiranya ada perkara yang kami kurang mahir, kami akan tingkatkan usaha dan keyakinan diri.

“Kami beruntung kerana mempunyai peminat dan rakan yang sentiasa memberi sokongan padu. Paling penting kami ada keyakinan dan kebebasan kreativiti dalam melakukan sesuatu yang terbaik,” kata Andrew.

Sejak mula dikenali pada 2012, ramai menyifatkan lagu Closer bersama Halsey cukup berhantu. Liriknya juga membuatkan peminat berteka-teki apa di sebalik cerita sebenarnya.

Menurut Andrew, lagu itu adalah kisah hidup mereka yang diterjemahkan kepada melodi indah.

“Terima kasih kerana menyukai lagu itu. Ia adalah siri kisah cinta yang pernah kami lalui sebelum ini.

“Ia menceritakan masa-masa indah yang kami tempuhi, namun pada masa sama tak semuanya betul. Hampir semua liriknya mengenai pengalaman kami,” katanya.

Dengan situasi pasaran sekarang apabila penghasilan album adalah merugikan, mereka tetap meneruskan hasrat menyiapkan album penuh.

Bagi The Chainsmokers, membawa pendengar untuk lebih menyelami muzik mereka adalah visi utama.

“Mungkin ada kebenarannya album sekarang semakin mati tetapi bagi kami album adalah medium utama untuk pendengar benar-benar mendalami seseorang pemuzik itu.

“Ia membolehkan kita terjun jauh ke dalam dunia mereka dan kalau menerusi single semata-mata memang tidak cukup.

“Dari segi perniagaan, mungkin ia tidak berbaloi, namun ia adalah tindakan yang sangat tepat bagi berkongsi kreativiti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here