The Star diberi tempoh tujuh hari jawab surat tunjuk sebab

0
50



PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyerahkan surat tunjuk sebab kepada akhbar The Star berhubung penyiaran muka hadapan akhbar itu pada Sabtu lepas yang bertajuk “Malaysian Terrorist Leader” disertai gambar umat Islam sedang solat tarawih.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata akhbar itu diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab surat tersebut mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, termasuk digantung permit penerbitan.

Menurutnya KDN amat dukacita dengan tajuk berita itu pada halaman yang turut dimuatkan gambar yang tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan berita berkenaan.

“Dan sangat tidak sesuai untuk disiarkan pada halaman yang sama kerana ia mengelirukan, menimbulkan salah faham dan prejudis terhadap umat Islam yang mungkin akan dikaitkan dengan keganasan,” katanya.

Alwi dalam satu kenyataan hari ini berkata ia juga secara tidak langsung mempersendakan agama Islam.

Empat wakil pengurusan akhbar berbahasa Inggeris itu dilihat memasuki bangunan KDN di sini pada kira-kira 10.50 pagi dan meninggalkan premis berkenaan kira-kira sejam kemudian untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu ekoran tindakan KDN memanggil ketua editor The Star.

Empat wakil tersebut ialah pengarang pakar The Star M. Shanmugam serta tiga pengarang eksekutif iaitu Brian Martin, Dorairaj Nadason dan Rozaid Abdul Rahman.

The Star telah membuat permohonan maaf atas perkara tersebut semalam.

Menurut akhbar tersebut, adalah menjadi amalannya menerbitkan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih di muka depan pada hari pertama Ramadan kerana menghormati bulan mulia itu.

Alwi dalam kenyataannya juga mengingatkan semua akhbar untuk bersama-sama memastikan kandungan penerbitan tidak mengandungi unsur-unsur yang menyentuh sensitiviti dan boleh memudaratkan ketenteraman awam.

“Pihak akhbar bertanggungjawab memastikan perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya sentiasa terpelihara,” kata Alwi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here