'Tiada 'flip flop' batal perjanjian IWH-CREC di Bandar Malaysia'

0
44



Tidak ada flip-flop dalam pembatalan perjanjian melibatkan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) bagi memiliki 60 peratus pegangan di Bandar Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata konsortium dari Johor dan China itu juga masih boleh membida untuk menjadi pemaju induk di Bandar Malaysia.

“Semasa lawatannya ke Beijing, PM (Datuk Seri Najib Razak) telah menyatakan dengan jelas bahawa konsortium yang baru boleh termasuk konsortium sebelumnya. Mereka masih boleh mengambil bahagian, selagi angka adalah okay.

“Perjanjian itu tidak pernah flip flop, terdapat syarat-syarat tertentu yang tidak dipenuhi oleh konsortium sebelumnya, jadi kerajaan tamatkan perjanjian itu secara sah, dan memanggil tender yang lain, yang memberi manfaat kepada negara kerana nilai (tanah) itu kini dihargai,” Rahman dipetik sebagai berkata oleh The Edge hari ini.

Pada tahun 2015, kerajaan menjual kepentingan majoriti dalam Bandar Malaysia kepada IWH-CREC sebagai sebahagian daripada rasionalisasi hutang 1MDB.

Pegangan itu ditamatkan pada 3 Mei lalu, dengan pemilik tanah TRX City Sdn Bhd berkata konsortium itu tidak memenuhi obligasi pembayaran untuk kepentingan 60 peratusnya. Konsortium itu bagaimanapun mempertikaikan dakwaan tersebut.

The Straits Times memetik pegawai yang terlibat dalam penyusunan semula hutang 1MDB sebagai berkata konsortium itu gagal membuktikan mereka mempunyai RM1.93 bilion yang diperlukan bagi menempatkan semula pangkalan udara Sungai Besi.

Laporan itu juga memetik pegawai kerajaan sebagai berkata, CREC gagal mendapatkan kelulusan daripada pengawal selia kewangan China.

Sejak itu laporan menyebut sebuah lagi firma gergasi dari China, Dalian Wanda Group berminat terhadap projek Bandar Malaysia.

Najib pada Sabtu lalu mengadakan lawatan ke Dalian Wanda, dan yakin keupayaan firma itu di Bandar Malaysia. Bagaimanapun perjanjian masih belum ditandatangani antara kedua-dua pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here