Tiada inisiatif damai baharu dikemukakan AS – Menteri Luar Palestin

0
36

RAMALLAH: Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki pada Selasa berkata, mungkin tiada sebarang inisiatif damai baharu akan dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada pertemuan dengan Presiden Mahmoud Abbas. 

Presiden Palestin dan Trump dijadual bertemu di New York di luar Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu ke-72, lapor agensi berita China Xinhua.

Pertemuan itu adalah yang ketiga selepas bertemu di Washington pada awal Mei dan di Bethlehem, Tebing Barat ketika Trump buat kali pertama mengadakan lawatan ke rantau berkenaan.

“Pentadbiran AS belum bersedia untuk mengemukakan pelan damai,” kata Maliki.

Beliau berkata, pentadbiran AS dijangka akan bercakap mengenai kedudukan negara itu dalam usahanya untuk mengembalikan semula proses rundingan damai.

Abbas pula akan menuntut Trump menjelaskan mengenai penyelesaian isu persempadanan, pendudukan Israel di wilayah Palestin serta kecenderungan AS yang memihak kepada Israel, katanya.

Al-Maliki juga menjangkakan Trump sekali lagi akan mengulangi hasratnya memastikan persetujuan segera diperolehi antara Palestin dan Israel.

Selain itu, Trump dijangka akan meminta Palestin untuk tidak mengambil langkah sepihak yang mungkin menghalang usaha AS.

Rundingan damai terakhir antara Israel dan Palestin tamat pada Mac 2014, selepas sembilan bulan rundingan yang ditaja AS gagal menunjukkan sebarang kemajuan untuk menyelesaikan konflik.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here