'Tiada istilah kenegerian'

0
65



Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim menepis dakwaan segelintir penyokong Harimau Malaya yang menuduh beliau bersifat kenegerian ekoran tindakan menjadikan Stadium Larkin di Johor Bharu sebagai gelanggang utama pasukan kebangsaan.

Malah, keputusan drastik mengubah lokasi latihan pusat negara dari Wisma FAM di Kelana Jaya ke pusat latihan kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Padang Seri Gelam, Johor Bharu turut membangkitkan rasa tidak puas hati dikalangan peminat bola sepak tempatan.

Menurut Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), baginya tiada istilah kenegerian apabila menegaskan kem latihan akan turut diadakan di setiap negeri mengikut pengiliran sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita sudah buat keputusan bahawa kem latihan akan mengikut giliran di setiap negeri kerana pasukan ini milik seluruh negeri.

“Akan ada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Kelantan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak kerana kita sebahagian daripadanya.

“Sebenarnya isu itu tidak penting kerana pada akhirnya perkara yang perlu diberi tumpuan adalah memperbaiki mutu bola sepak negara.

“Idea utama adalah untuk mempunyai struktur profesional, mempunyai jurulatih terbaik dari luar negara yang akan berkongsi ilmu dengan skuad kebangsaan. Itu yang kita cari dan juga sasaran kita,” katanya pada sidang media memperkenalkan pengendali baru Malaysia, Nelo Vingada di sini, kelmarin.

Mengulas mengenai peluang skuad bimbingan Vingada dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan pada 13 Jun serta Korea Utara 5 Oktober depan, pemilik Johor DT itu tidak mengharapkan kejayaan dalam tempoh yang singkat tetapi mahu kejayaan itu diteruskan untuk jangka masa panjang.

“Untuk menentang Lubnan mungkin waktu persiapan agak pendek. Begitu juga tiga bulan lagi untuk berdepan Korea Utara, kita mungkin tidak cukup masa untuk dapat keputusan terbaik kerana tiada yang mudah dalam bola sepak.

“Kita juga kekurangan sumber tetapi kita akan lakukan yang terbaik untuk mempertingkatkan pasukan. Macam yang saya kata, kita di sini bukan untuk mengadu tetapi saya akan menggunakan masa yang ada untuk mengubah ia menjadi hasil positif,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here