Tiada kaitan antara letupan bom di Selatan Thailand dengan serangan ganas – PM Thailand

0
30



BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand tidak menemukan sebarang bukti yang mengaitkan serangan bom di selatan Thailand baru-baru ini dengan kematian seorang rakyat Malaysia yang berkedudukan penting dalam kumpulan pengganas Daish, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, di Syria.

Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha bagaimanapun memerintahkan agensi keselamatan Thailand terus menyiasat dakwaan bahawa dua kejadian itu mempunyai kaitan.

“Thailand tidak menemukan sebarang maklumat risikan yang membayangkan wujud kaitan antara kejadian serangan bom di selatan Thailand dengan serangan ganas di Jakarta dan Mindanao baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat mingguan kabinet di sini hari ini.

Prayut berkata kerajaan akan memaklumkan kepada orang ramai sekiranya terdapat bukti mencukupi untuk mengaitkan letupan bom di Pattani baru-baru ini dengan serangan ganas lain di rantau ini.

Sebuah pasar raya popular di wilayah bergolak ini menjadi sasaran serangan bom berkuasa tinggi pada 9 Mei ketika ia dipenuhi pelanggan, menyebabkan 69 orang cedera, termasuk beberapa kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan baru-baru ini berkata letupan bom di selatan Thailand dan serangan pengganas di Jakarta dan Marawi di Mindanao, dikaitkan dengan kematian Muhammad Wanndy.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kematian pengganas berasal dari Melaka itu dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April.

Prayut juga menggesa semua pihak di Thailand supaya menamatkan sengketa sesama mereka dan tidak membiarkan puak ekstremis dari luar negara mencampuri urusan hal ehwal dalaman Thailand.

Mengenai kemajuan “Zon Keselamatan” di selatan Thailand, beliau berkata kedua-dua pihak masih berunding tentang perkara itu.

Kerajaan Thailand mengadakan rundingan dengan Mara Patani, badan induk yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand, hasil daripada daya usaha Malaysia.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here