Tiada lantikan politik dalam Khazanah ketika era Najib

0
415
Advertisement

SHAH ALAM: Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan syarikat pelaburan strategik negara itu tidak melakukan pelantikan politik dalam urusan anggotanya.

Najib berkata, selama ini, semua urusan entiti itu adalah berpandukan kepada nasihat diberikan pengurusan dan lembaga pengarah, walaupun ia dipengerusikan oleh beliau selaku perdana menteri sebelum ini.

Malah, katanya, ada exco yang turut dipengerusikan timbalan pengerusi Khazanah dan semua anggotanya terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.

“Sebab itulah waktu saya ambil alih Khazanah, asetnya cuma RM33 bilion dan waktu saya tinggalkan Khazanah, ia telah lonjak hampir RM134 bilion.

“Namanya tersohor di antarabangsa…maknanya kita telah berjaya dari segi misi Khazanah,” katanya kepada media selepas merasmikan Restoran Pok Usop Ayam Kampung di Setia Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kebimbangan rombakan Khazanah yang bakal dilakukan kerajaan.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya berkata, peletakan jawatan Pengarah Urusan dan ahli Lembaga Pengarah Khazanah membolehkan kerajaan menstruktur semula syarikat dana nasional tersebut berdasarkan polisi pentadbiran baharu yang sedia ada.

Dalam pada itu, Najib berkata, penubuhan Khazanah adalah bertujuan untuk menambah aset dan kekayaan negara.

“Bila Khazanah dapat keuntungan, ia mesti akan isytihar dividen kepada krajaan dan kerajaan gunakan untuk membantu rakyat,” katanya.

Selain itu, katanya, Khazanah juga mempunyai agenda Bumiputera antaranya memberi biasiswa dan tempat kepada Bumiputera teknokrat.

“Ia bagi memberikan mereka peluang kendalikan syarikat yang punyai aset besar dan dapat menempa pasaran antarabangsa.

“Semua ini merupakan pengalaman yang cukup berharga sebab kita nak juga membangunkan golongan Buniputera profesional melalui agensi atau badan-badan seperti Khazanah,” katanya.

Ditanya sama ada Khazanah merupakan tindakan rombakan dendam politik kerajaan baharu, Najib berkata, ‘tidak pasti…tengok apa kesudahannya’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here