'Tiada masalah mara suku akhir'

0
258
Advertisement



BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai semakin memberikan persembahan meyakinkan di Terbuka Singapura, hari ini apabila mara ke suku akhir selepas menumpaskan Ren Xiangyu-Tang Jinhua dari China.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kedua, tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan set terus 21-19, 21-9 dalam aksi di Stadium Tertutup Singapura.

Menanti Soon Huat-Shevon di suku akhir ialah gandingan muda Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari yang melakukan kejutan ke atas pilihan kelima dari Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich 13-21, 21-14, 21-15.

Menurut ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, strategi yang digunakan anak buahnya menjadi walaupun terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk mengawal keadaan angin di dalam gelanggang.

“Pada set pertama, saya lihat mereka dapat mengawal situasi dengan baik dan untuk set kedua mereka sudah dapat momentum mematikan segala strategi dari pemain lawan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Turut mara ke suku akhir ialah perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng yang menumpaskan Pannawit Thongnuam dari Thailand, 21-11, 21-16.

Wei Feng yang juga bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal berdepan Qiao Bin esok, selepas pemain China itu mengetepikan Yu Igarashi (Jepun), 21-14, 21-14.

Bagaimanapun, seorang lagi wakil negara, Liew Daren terkandas selepas kalah kepada wakil Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa 23-21, 21-16.

Mengalami nasib sama ialah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kalah 19-21, 21-18, 22-20 kepada Angga Pratama-Rian Agung Saputro dari Indonesia.  

     

Beregu wanita, Goh Yea Ching-Vivian Hoo juga gagal melakar kejutan apabila kalah kepada pilihan keempat dari Thailand, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong 12-21, 20-22.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here