Tiada rakyat M'sia terjejas insiden letupan bom kereta di Kabul

0
79



KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden letupan bom kereta oleh pelaku bunuh diri di Kabul pagi tadi yang menyebabkan ramai orang terkorban dan cedera.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkata ia akan memantau situasi melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam dan amat sedih terhadap tindakan keganasan yang sia-sia itu dan berharap pelakunya segera dibawa ke muka pengadilan.

“Malaysia juga merakamkan ucapan takziah yang mendalam dan simpati kepada Kerajaan Republik Islam Afghanistan dan kepada keluarga yang terjejas,” kata kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 80 orang maut dan 350 lagi cedera dalam letupan bom kereta di daerah diplomatik di ibu negara Afghanistan itu, agensi berita China, Xinhua memetik Menteri Kesihatan Awam Afghanistan sebagai berkata.

Serangan pada Rabu ialah pengeboman besar-besaran yang kedua di Kabul bulan ini.

Pada 3 Mei, lapan orang awam terbunuh dan 27 orang termasuk tiga askar Amerika Syarikat, cedera dalam pengeboman yang dilakukan oleh pelaku bunuh diri.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here