Tiba di Manila

0
68



Manila: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di sini, semalam, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 dan mesyuarat berkaitan pada 26-29 April 2017 di Metro Manila.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, di sini pada jam 5.30 petang.

Mereka disambut antaranya Penasihat Presiden bagi Proses Damai Filipina, Jesus F Dureza, bakal Duta Besar Filipina ke Malaysia Charles Jose, Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid dan Pegawai Protokol Kedutaan Malaysia, Kolonel Hamzah Ali.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu dan Filipina menjadi tuan rumah pada 2017 susulan peranannya sebagai pengerusi.

Delegasi Perdana Menteri termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Delegasi itu juga termasuk pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Unit Perancang Ekonomi.

Selain menyertai sidang kemuncak itu, Perdana Menteri turut mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Ke-10 serta menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia- Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA) Ke-12 yang akan dipengerusikan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak ‘Kesejahteraan Untuk Semua’ anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here