Tiba masanya Malaysia laksana sistem insurans pekerjaan

0
56

KUALA LUMPUR: Pekerja akan dilindungi dengan lebih baik di bawah cadangan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), terutamanya jika mereka diberhentikan, berikutan mereka boleh mendapat bantuan kewangan sementara.

Dalam mencari pekerjaan baharu, pekerja yang diberhentikan akan diberi kursus latihan semula atau peningkatan kemahiran untuk meningkatkan keupayaan mereka mendapat pekerjaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan EIS, yang akan melibatkan kira-kira 6.5 juta pekerja tempatan dalam sektor swasta.

Perdana Menteri berkata undang-undang baharu digubal dan akan dibentangkan di Parlimen pada Jun.

Ia dijangka dilaksanakan pada 1 Jan, 2018 manakala pembayaran faedah akan dibuat mulai 1 Januari 2019.

Majikan, pada umumnya, meminta bantuan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Persekutuan Majikan Malaysia dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia, untuk membantah langkah itu, berikutan langkah yang sedemikian akan melibatkan kos tambahan kepada majikan.

Mempertahankan rasional pelaksanaan EIS, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Dr Mohammed Azman Aziz berkata skim EIS telah dilaksanakan, antaranya di China, Thailand, Vietnam dan malah, Mongolia, beberapa tahun yang lalu.

Malaysia perlu mengkaji pelaksanaan EIS berikutan negara ketinggalan jauh berbanding negara lain, katanya.

Di China, Vietnam dan Mongolia, pekerja menyumbang antara 0.5 peratus dan 1.0 peratus daripada gaji mereka bagi skim itu manakala majikan menyumbang antara 0.5 peratus dan dua peratus daripada gaji pekerja.

“Sebab saya menyebut Mongolia (adalah kerana)..saya fikir kita lebih maju daripada Mongolia, tetapi mereka telah melaksanakan EIS.

“Di rantau ini, pada tahun 70-an, kita pernah menjadi juara bagi keselamatan sosial. Hari ini, kita ketinggalan berbanding Thailand dan juga beberapa negara Indo-China.

“Oleh itu, sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk mengkaji perkara ini, memandangkan pendekatan adalah sama,” katanya pada sesi pendengaran awam mengenai EIS di sini pada Khamis.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan memperuntukkan RM80 juta sebagai dana bantuan untuk kehilangan pekerjaan.

Daripada jumlah itu, kira-kira 42 peratus atau RM52 juta diberikan kepada Perkeso pada 2011 untuk melaksanakan EIS.

Selain pekerja yang diberhentikan, EIS juga melindungi mereka yang terjejas oleh skim pemberhentian secara sukarela, bencana alam, majikan melarikan diri, diisytihar bankrap, penutupan perniagaan, penstrukturan semula perniagaan, lebihan pekerja serta automasi.

Bagaimanapun, ia tidak melindungi kehilangan pekerjaan disebabkan salah laku, letak jawatan secara sukarela, persaraan serta tamat tempoh kontrak.

Menurutnya, jika terdapat lebihan dana EIS dalam masa terdekat, faedah bersalin bagi pekerja wanita sektor swasta akan dinaikkan sehingga 14 minggu (98 hari).

Lain-lain termasuk subsidi gaji kepada perusahaan kecil dan sederhana sehingga 50 peratus bagi tempoh enam bulan, untuk majikan yang mengambil pencari kerja kali pertama, pekerja berusia lebih 45 tahun dan wanita selepas cuti bersalin.

Subsidi gaji juga akan diberikan oleh Perkeso kepada majikan yang mengekalkan pekerja daripada diberhentikan semasa kemelesetan ekonomi.

Mengenai Faedah Penamatan dan Pemberhentian Kerja, Mohammed Azman menjelaskan bahawa ia hanya melindungi mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah.

“Oleh itu, EIS adalah pilihan yang lebih baik kerana ia melindungi semua majikan dan pekerja tanpa mengira gaji dan ia akan hanya diuruskan oleh Perkeso.

Mohammed Azman berkata kadar pengangguran Malaysia berada pada 3.5 peratus atau 500,000 orang.

Daripada jumlah ini, 40 hingga 70 peratus berpotensi mendapat faedah daripada EIS.

Sementara itu, Mohammed Azman turut mendedahkan bahawa pada tahun lepas, Perkeso menerima sumbangan sebanyak RM3.17 bilion dan mengeluarkan kira-kira RM2.977 bilion kepada penerima manfaat.

Sehingga akhir 2016, dana itu berjumlah RM24.67 bilion.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here