Tidak pernah campur tangan aktiviti penggabungan, pengambilalihan – BNM

0
23

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan ia tidak pernah dan tidak akan campur tangan dalam rundingan antara mana-mana pihak berkaitan dengan penggabungan dan pengambilalihan dalam industri perbankan.

Aktiviti-aktiviti ini didorong oleh pasaran, yang mana sebahagian besarnya berdasarkan kepada pertimbangan komersial dan perniagaan dan bank pusat memainkan peranan sebagai pembantu dalam memudahkan proses penggabungan, kata bank pusat dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata demikian sebagai reaksinya kepada sebuah artikel akhbar tempatan yang bertajuk “What led to the collapse of Ambank – RHB deal” (Apakah yang menyebabkan kegagalan janji niaga Ambank-RHB) disiarkan pada Jumaat, yang mana bank pusat menganggapnya sebagai tidak tepat dan boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri perbankan.

“Dalam melaporkan perkara seperti itu, memberikan pandangan yang adil dan seimbang perlu menjadi norma pemberita.

“Apa-apa sindiran atau tuduhan yang dibuat terhadap pihak-pihak tertentu perlu disertakan dengan komen dan maklum balas daripada pihak-pihak terbabit.

“Penggabungan dalam sektor perbankan dipacu terutamanya oleh pertimbangan perniagaan institusi perbankan itu sendiri.

BACA: RHB, AMMB tamatkan rundingan penggabungan 

BACA: RHB, Ambank mula rundingan penggabungan 

BACA: RHB dan Ambank bakal bergabung? 

“Justeru itu, amatlah tidak tepat dan malahan tidak wajar bagi artikel itu untuk merumuskan yang ‘the deal is likely to have failed because the central bank was the only driver pushing the deal to go through’ (janji niaga itu nampaknya gagal kerana bank pusat adalah satu-satunya pihak yang mendesak ia dilaksanakan),” kata bank pusat sambil menambah pemberita perlu adil, bertanggungjawab dan profesional dalam penyelidikan dan ulasan mereka.

BNM berkata ia memberikan kelulusan kepada pihak-pihak terbabit untuk membincangkan dan merundingkan janji niaga tu dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Semasa tempoh ini, pihak-pihak akan menjalankan penilaian menyeluruh bagi penggabungan itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.

“Ini termasuk penilaian potensi sinergi, serta risiko yang timbul daripada model perniagaan, operasi dan sistem mereka masing-masing dan selepas mengambil kira analisis menyeluruh dari segi maklumat kewangan dan bukan kewangan,” kata BNM.

Bank pusat berkata, ia juga merupakan tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah entiti masing-masing untuk memastikan penggabungan itu akan mengambil kira kepentingan terbaik pemegang kepentingan, terutamanya pendeposit dan pemegang saham.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here