Tiga beranak nyaris rentung rumah kedai terbakar

0
34



Melaka: Tiga beranak nyaris rentung apabila premis di tingkat bawah rumah kedai dua tingkat yang menjadi kediaman mereka di Taman Desa Duyong, di sini, terbakar pada jam 1.50 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ku Ku, 30, bersama isteri, Yee, 28, dan bayi lelaki berusia sembilan bulan tidur di dalam sebuah bilik di rumah kedai berkenaan.

Ku Ku berkata, kebakaran disedari isterinya yang terjaga akibat kesukaran bernafas berikutan asap tebal.

“Isteri mengejutkan saya dan bahagian depan premis terbakar, jadi atas sebab keselamatan saya bawa isteri dan bayi kami ke bahagian belakang kedai untuk berlindung,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Shahidin Mad Sudi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.01 pagi.

“Ketika pasukan operasi tiba di lokasi, kami dimaklumkan mangsa berjaya keluar dari premis.

“Siasatan mendapati lebih 50 peratus tingkat bawah rumah kedai dua tingkat berkenaan musnah. Namun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here