Tiga jenazah pelajar tahfiz selamat dikebumi

0
339
Advertisement



KUALA KRAI: Tiga jenazah pelajar tahfiz yang maut dalam kemalangan di Km 55 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Pusat Tahfiz Al-Hashimi, Kampung Tualang pada pukul 11.25 Jumaat malam.

Jenazah Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18, Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16, dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, sebelum itu disembahyangkan di masjid pusat tahfiz berkenaan selepas dibawa keluar secara berasingan daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Krai bermula pukul 9.30 malam semalam.

Jenazah Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, yang sebelum ini dikatakan akan dikebumikan bersama rakan-rakannya itu bagaimanapun dituntut oleh ibu bapanya yang baharu tiba dari Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Mangsa akan dikebumikan di kampung halamannya di Panji, Kota Bharu.

Sementara itu jenazah Muhammad Rahman Rozali, 18, dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Tok Dor Soh, Bachok, jenazah Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dibawa pulang ke Dabong di sini manakala seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad, 14, dibawa pulang ke Pattani.

Suasana sayu dan pilu menyelubungi pekarangan pusat tahfiz sebaik ketiga-tiga jenazah pelajar itu tiba dan ketika majlis pengebumian berlangsung.

Puluhan penduduk, para pelajar tahfiz dan anggota keluarga mangsa turut menyaksikan ketika ketiga-tiga jenazah diturunkan ke dalam liang lahad ketika hujan renyai-renyai.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here