Tiga lagi kes baharu penyakit Legionnaire yang dikaitkan dengan Disneyland

0
18

LOS ANGELES: Tiga lagi individu telah didiagnosis menghidap penyakit Legionnaire selepas mereka berkunjung ke Anaheim, Daerah Orange, California, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti setakat ini ialah 15 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai kesihatan.

Dua daripada tiga kes baharu itu membabitkan individu yang berkunjung ke Disneyland di Anaheim manakala 11 daripada 15 kes tersebut melibatkan pengunjung taman tema berkenaan pada bulan September, termasuk seorang yang bekerja di situ, kata pegawai kesihatan Daerah Orange.

Disneyland telah menutup dua menara penyejuk selepas mendapati ia mempunyai tahap bakteria Legionella yang tinggi susulan penularan penyakit Legionnaire di rantau ini. 

Pegawai Disneyland berkata mereka telah berganding bahu dengan agensi penjagaan kesihatan daerah dan merawat menara terbabit dengan bahan kimia yang boleh menghapuskan bakteria itu.

Agensi terbabit dilaporkan telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Awam California serta Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bagi membantu pegawai perubatan dan jabatan kesihatan awam mengenal pasti jangkitan dalam kalangan orang ramai yang mungkin jatuh sakit selepas berkunjung ke Anaheim, terutama Disneyland, sebelum 7 Nov.

Mereka yang didiagnosis menghidap penyakit Legionnaire adalah dalam lingkungan usia 52 hingga 94 tahun.

Penyakit Legionnaire adalah sejenis wabak bawaan udara yang mengakibatkan radang paru-paru akut kepada mereka yang berusia lebih 50 tahun, atau yang mempunyai sistem imun lemah.

Menurut CDC, Legionella adalah sejenis bakteria yang terdapat secara semula jadi dalam persekitaran air tawar. 

Keadaan akan berubah menjadi teruk dan menjejaskan kesihatan manusia apabila bakteria Legionella membiak serta merebak di dalam sistem pengairan buatan manusia seperti pancuran dan kepala paip, menara penyejuk serta air pancut hiasan.

Orang ramai boleh dijangkiti penyakit Legionnaire apabila mereka bernafas dalam titisan kecil air yang terdapat dalam udara, yang mengandungi bakteria tersebut.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here