Tiga lelaki parah ditembak gara-gara bola sepak

0
45



Ipoh: Hanya disebabkan bertikam lidah mengenai perlawanan bola sepak, tiga lelaki parah akibat ditembak sekumpulan lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Kledang Timur 10, Menglembu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, ketiga-tiga lelaki berusia antara 21 hingga 29 tahun terbabit cedera di beberapa bahagian badan dan menerima rawatan di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham perlawanan bola sepak antara dua kumpulan sehingga membabitkan penggunaan kata-kata kesat.

Malah, bapa kepada seorang mangsa turut menerima ugutan daripada seorang lelaki memberitahu akan menembak anak serta rakan anaknya.

Sumber polis berkata, seorang mangsa berusia 24 tahun dipercayai ke sebuah kedai selepas seorang daripada suspek menghubunginya untuk berjumpa di lokasi berkenaan.

Katanya, sebaik tiba, suspek melepaskan beberapa das tembakan dan terkena di badan termasuk leher dan peha.

“Pada masa yang sama, dua lagi mangsa berusia 21 dan 29 tahun yang dipercayai di lokasi kejadian turut ditembak tanpa mengetahui sebab,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here