Tiga pelajar ditahan dipercayai terlibat kegiatan Geng 24

0
58



Geng 24: Polis tahan tiga pelajarPolis menahan tiga pelajar sekolah kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap Geng 24 di Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata ketiga-tiga pelajar yang berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan dalam Op Cantas bagi mengesan saki baki Geng 24 pada pukul 12.40 tengah hari di perkarangan sekolah mereka.

“Perintah reman tiga hari dikeluarkan bermula hari ini terhadap mereka dan usaha mengesan ketua atau dalang utama geng kongsi gelap itu giat dilakukan polis,” katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang baru iaitu SAC Zulkifli Mohd yang disaksikan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff.

Zulkifli, 58, menggantikan ACP Adnan Abdullah yang memangku jawatan berkenaan sebelum ini.

Menurut Fadzil, tangkapan tiga pelajar itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang diberkas polis berkaitan kumpulan kongsi gelap berkenaan ialah 41 orang setakat ini. Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Pada 20 April lalu, dua video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai anggota Geng 24 menimbulkan kekecohan di luar sebuah sekolah di Klang menjadi tular dalam media sosial.

Susulan itu, polis membuat beberapa siri tangkapan bermula 21 April lepas bagi menjejaki anggota geng kongsi gelap berkenaan.

– Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here