Tiga pelajar Malaysia yang disoal siasat oleh polis Britain selamat – Reezal Merican

0
32



KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Malaysia yang disoal siasat oleh polis Britain berhubung insiden serangan Manchester minggu lalu, berada dalam keadaan selamat.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau telah berkomunikasi dengan ketiga-tiga mereka dan mengesahkan bahawa mereka selamat.

“Secara peribadi saya mengenali dan pernah bertemu dengan dua daripada tiga pelajar tersebut, ketika menghadiri program beramah mesra bersama pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Manchester awal tahun ini.

“Saya telah pun berkomunikasi secara langsung dengan ketiga-tiga pelajar berkenaan, dan suka dimaklumkan bahawa mereka berada di dalam keadaan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Reezal Merican yang juga merupakan Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara Umno Malaysia, turut menyeru warganegara Malaysia terutamanya pelajar Malaysia yang menetap di sekitar Manchester untuk sentiasa berhubung dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, supaya peka dan sentiasa ambil peduli dan mematuhi peraturan serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari masa ke semasa.                      

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama sepenuhnya diberikan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terjamin, khususnya golongan pelajar Malaysia yang menuntut  di United Kingdom.

Semalam, Wisma Putra, dalam satu kenyataan memaklumkan pelajar-pelajar berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Longsight di Manchester pada Mei 29, untuk disoal siasat pada pukul 5.40 petang waktu tempatan.

Mereka kemudian dibebaskan jam 9 malam waktu tempatan.

Akhbar The Times melaporkan bahawa tiga pelajar Malaysia itu disoal siasat disebabkan alamat mereka digunakan Salman Abedi, lelaki yang meletupkan dirinya ketika konsert penyanyi Amerika Syarikat, Ariana Grande, yang menyebabkan kematian 22 orang dan kecederaan 116 pengunjung.

Akhbar itu memetik sumber berkata Salman dipercayai mungkin cuba menggunakan kediaman tiga orang pelajar itu sebelum melakukan serangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here