Tindakan MP Subang: MB mengadap Sultan Selangor

0
26



Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengadap Sultan Selangor semalam berhubung tindakan Anggota Parlimen Subang, R Sivarasa, yang didakwa memberi ceramah berkaitan politik di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang dekat Klang Rabu lalu.

Laporan Bernama memetik Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR, berkata Sivarasa juga ada menemui beliau bagi menjelaskan keadaan, namun, menteri besar itu enggan memberitahu butir penjelasan berkenaan.

“Saya telah mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bagi menjelaskan keadaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Beliau turut menjelaskan, Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan tetapi ia adalah majlis anjuran pejabat anggota parlimen itu sendiri.

Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dilaporkan sebagai berkata Sultan Sharafuddin murka dan dukacita terhadap tindakan anggota parlimen itu yang didakwa memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.

Menurut Haris, perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh baginda sendiri yang turut menitahkan supaya JAIS mengambil tindakan segera terhadap nazir serta pihak penganjur.

Bernama juga memetik Mohamed Azmin sebagai berkata, pemimpin politik di Selangor perlu patuh terhadap garis panduan ditetapkan JAIS berhubung penganjuran majlis di masjid dan surau bagi menjaga kesucian rumah ibadat orang Islam itu.

Katanya, garis panduan itu perlu dipatuhi oleh semua pemimpin politik beragama Islam dan bukan Islam sebagai menghormati fungsi utama masjid dan surau sebagai tempat beribadah serta menyatupadukan umat Islam.

“Sebarang majlis anjuran wakil rakyat boleh dilakukan di masjid dan surau tetapi biarlah ia dilakukan di perkarangan kawasan berkenaan sahaja, bukan di ruang solat,” katanya.

Sivarasa sebelum ini, menafikan beliau memberi ceramah politik di masjid berkenaan tetapi berkata, kehadirannya di masjid itu disalahertikan sesetengah pihak.

Menurutnya, beliau hadir untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen berkenaan.

Pemimpin PKR itu berkata, beliau hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here