Tindakan SPRM bukan runtuhkan organisasi – Isahak Yeop Sahar

0
59



KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kumpulan pelaku jenayah rasuah di agensi kerajaan mahupun korporat bukan bertujuan menjatuhkan sesebuah organisasi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Isahak Yeop Mohamad Sahar berkata tindakan SPRM itu adalah untuk meletakkan kebenaran, keadilan dan ketelusan bagi memastikan urus tadbir yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya kira apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang ini adalah amat baik terutama dalam konteks membanteras rasuah baik di peringkat individu, sindiket atau organisasi yang lebih besar.

“Tindakan SPRM sebenarnya pada saya menyeluruh, bukan sahaja jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), tetapi individu dan jabatan lain diberi perhatian sama rata, sama berat. Cuma fokus sekarang ini, dalam jadual tugas mereka masa ini, KDN merupakan tempat mereka bergerak.

“Saya kira tentunya mereka mempunyai jadual untuk pergi ke jabatan lain bukan bertujuan untuk meletakkan imej jabatan berkenaan di bawah, tetapi semata-mata untuk meletakkan kebenaran, keadilan dan ketelusan dalam pengurusan korporat atau jabatan,” katanya.

Beliau berkata kepada Astro AWANI selepas menjadi salah seorang panel pada Breakfast Talk Integriti: Integriti Jaminan Kelestarian Pengurusan Tadbir Urus Korporat Berkualiti Tinggi di Menara Felda di sini hari ini.

Tegasnya, jika tiada tindakan diambil, nama sesebuah organisasi akan terus tercalar sekali gus memberi impak negatif kepada negara.

“Kita boleh beri pandangan, fikiran yang bernas serta yang boleh bantu Kerajaan untuk membanteras perlakuan-perlakuan yang tidak sesuai terutama di sektor awam kerana tanpa tindakan-tindakan seperti ini, imej kita akan lebih teruk terutama pandangan orang luar terhadap negara kita akan terus tercalar.

“Justeru, untuk membetulkan itu tindakan harus diambil di mana rakyat harus bersama dengan Kerajaan bagi tindakan-tindakan seperti ini kerana tindakan-tindakan seperti ini hanya untuk kebaikan bersama rakyat dan negara,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here