Tinggal 11 peratus tajaan perlu dicari

0
49



Putrajaya: Hanya berbaki 11 peratus penajaan daripada jumlah keseluruhan RM80 juta perlu dicapai Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) bagi Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 (KL2017) yang berbaki beberapa bulan lagi.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, secara keseluruhan mereka sudah mencapai 89 peratus dengan Sukan SEA dijadualkan berlangsung pada Ogos disusuli Para ASEAN pada September.

“Penajaan berbentuk tunai sudah mencapai 71 peratus (daripada RM30 juta) manakala 99 peratus (RM50 juta) bagi barangan,” jelasnya.

Terdahulu beliau menghadiri majlis pengumuman tajaan kategori perak oleh McDonald’s Malaysia dengan tajaan bernilai RM1 juta.

Khairy menjelaskan, jenama itu cukup sinonim dengan rakyat Malaysia yang secara tidak langsung akan membantu dalam mempromosikan temasya.

Tegasnya lagi dengan kehadiran purata 13.5 juta pelanggan setiap bulan, ia secara tidak langsung mampu menyemarakkan lagi semangat patriotik memandangkan pada Ogos, Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan ke-60.

Beliau turut menjelaskan persiapan sukarelawan berjalan lancar dengan hampir 13,000 individu sudah menjalani latihan fasa pertama disusuli fasa kedua bulan depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here